Jumaat, Oktober 07, 2011

Kemahiran Membaca & Menulis dalam BM

Persediaan Mengajar Menulis Karangan Berbentuk Naratif


1. PENDAHULUAN
            Kemahiran menulis merupakan satu kemahiran yang sukar dan hanya dapat dikuasai selepas seseorang pelajar telah menguasai kemahiran mendengar, bertutur dan membaca. Aktiviti mengarang menggabungkan pengetahuan ketiga-tiga kemahiran ini. Penulisan juga mengukuhkan kemahiran berfikir kepada peringkat yang tinggi seperti menganalisis, mengaplikasi dan menilai maklumat.
Objektif pengajaran dan pembelajaran mata pelajaran karangan berbeza menurut peringkat umur murid-murid. Bagi seorang murid di peringkat menengah, kemahiran yang diperolehi dari sekolah rendah perlulah diperkembangkan untuk disesuaikan dengan tahap atau standard sekolah menengah. Bahagian utama dalam karangan iaitu pendahuluan, isi-isi dan penutup, yang merupakan elemen-elemen asas sesebuah karangan haruslah dititik beratkan dan diperkukuhkan dalam penulisan karangan. Dengan adanya elemen-elemen asas ini, akan membolehkan seseorang pelajar meninjau dan meneroka elemen-elemen distingtif yang lain dalam penulisan naratif.
2. TUJUAN KAJIAN
            Kajian ini akan membentangkan karangan yang berbentuk naratif. Kajian ini akan menjurus kepada faktor-faktor yang penting dalam mengarang karangan naratif yang bermutu. Kajian ini juga akan menerangkan bagaimana guru dapat mengetengahkan faktor-faktor karangan naratif dan diaplikasikan pengetahuan itu sewaktu membuat latihan-latihan mengarang. Guru disarankan memberikan contoh-contoh yang terdapat dari internet atau buku untuk dijadikan sumber atau bahan perbincangan sewaktu menjalankan pengajaran penulisan naratif ini.
3. BAHAN KAJIAN
                       Petikan dan cadangan yang diberi merupakan petikan dan tukilan daripada nota-nota kuliah serta tukilan dari lelaman-lelaman yang tersenarai dalam rujukan. Buku karangan Gail E. Tompkins yang bertajuk ‘Teaching Writing : Balancing Process dan Product ‘, juga dipilih sebagai salah satu bahan rujukan. Selain itu, antologi cerpen karya Ishak Latiff yang bertajuk Rona (2009), dijadikan sumber untuk mengetengahkan petikan dalam menghuraikan elemen-elemen penting dalam penulisan naratif.
4. ISI PERBINCANGAN
            Pembacaan karangan naratif yang bermutu berupaya ‘memindahkan’ pembaca dari alam nyata ke alam cereka. Pembacaan yang khusyuk akan mengizinkan pembaca mengalami sama apa yang dialami oleh watak-watak dalam sesebuah penulisan naratif. Menurut Dressel (1990), pelajar yang didedahkan dan membaca bahan bacaan yang berkualiti, secara langsung akan mengarang dengan lebih baik jika dibandingkan dengan pelajar yang kurang membaca bacaan yang berkualiti.
            Karangan yang berbentuk naratif mengandungi beberapa ciri-ciri distingtif iaitu tema, jalan cerita, watak, latar, sudut pandang dan gaya bahasa. Karangan naratif menggunakan ragam bahasa sastera yang menumpukan perhatiannya kepada penceritaan semula sesuatu kejadian, pengalaman atau peristiwa yang telah berlaku.
            Sebuah karangan naratif di peringkat sekolah menengah akan lazimnya memusatkan perhatian pada satu kejadian atau peristiwa, mempunyai satu plot, satu latar dan jumlah watak yang terhad. Ianya juga mencakupi jangka waktu yang pendek dan singkat. Penulisan naratif dalam peringkat sekolah menengah lazimnya tidak menimbulkan masalah dalam bahagian pemerengganan, isi dan penutup. Bahagian-bahagian asas merupakan dasar yang penting yang perlu ditangani sebelum beralih kepada unsur-unsur penulisan naratif yang lebih mencabar. Guru akan memperkenalkan unsur-unsur penulisan ini secara bertahap-tahap dan memberikan fokus atau penekanan yang berbeza mengikut kehendak soalan.
Pengajaran penulisan naratif tidak harus dijalankan serentak tetapi berperingkat. Pada awal pengajaran, pelajar didedahkan dengan unsur-unsur tema dan plot dahulu sebelum diketengahkan unsur watak dan sudut pandang. Terpulanglah kepada kebijaksanaa guru untuk memilih unsur-unsur manakah yang harus didahulukan atau yang ingin ditekankan.
            4.1 TEMA
            Sebuah penulisan naratif haruslah mempunyai tema. Tema yang diutarakan merupakan persoalan utama atau persoalan pokok yang dikemukakan dalam sesebuah penulisan naratif. Ianya juga merupakan pemikiran, falsafah dan premis yang bersangkutan dengan  persoalan-persoalan yang disentuh di dalam penulisan. Lazimnya penulisan naratif mengandungi satu tema tetapi mengandungi banyak persoalan. Tema-tema yang sering kali disentuh berkisar kepada kasih sayang, kegigihan semangat cinta dan lain-lain. Guru boleh mengambil contoh tema kehidupan yang terdapat dalam buku antologi cerpen karya Isyak Latif yang bertajuk ‘Nasi Ambeng’. Ianya menyentuh tentang sebuah harga kemiskinan, sebuah harga keinginan dan sebuah harga nilai kehidupan.
           
Guru boleh memulakan perbincangan bersama pelajar tentang apakah tema yang ingin diketengahkan oleh penulis berdasarkan dialog yang diberikan ini.  
“... Aku tidak peduli! Kamu sekeluarga ni memang suka menyusahkan orang. Tak sedar diri, hidup tu ibarat itik tak sudu, ayam tak patuk. Kalau dah pipit tu, janganlah nak berlagak seperti enggang. Hei, Sengot! Aku tak peduli! Sekarang aku nak kau ganti balik beras aku yang anak-anak kau dah makan. Ganti, cepat!!”                                                                                                      (ms 45)
           
            4.2 JALAN CERITA ATAU PLOT  
Setelah perbincangan tentang tema yang ingin disampaikan oleh penulis, guru boleh menyentuh pula tentang bagaimana pula penulis dapat mengolah jalan ceritanya atau plot supaya berupaya menarik minat para pembaca. Plot yang mengiringi penulisan naratif lazimnya merupakan jalinan peristiwa yang berlaku dalam sesebuah cerita berdasarkan hukum sebab dan akibat. Plot ini juga terbahagi kepada dua iaitu plot konvensional dan plot bukan konvensional.
Plot konvensional akan memaparkan urutan cerita yang terikat seperti dimulakan dengan permulaan cerita, diikuti pula dengan konflik dan aksi menaik. Ini diiringi dengan klimaks sebelum diakhiri dengan penyelesaian.
Berbeza dengan plot konvensional, plot bukan konvensional pula memaparkan yang sebaliknya. Ianya boleh dimulakan dengan pengakhiran cerita, kemudian dibawa pula pembaca kepada permulaan bahagian sebelum pengakhiran dan disudahi dengan peleraian.
Binaan plot terbahagi kepada 3 peringkat iaitu permulaan, perkembangan dan peleraian. Pembaca dihidangkan dengan permulaan penulisan naratif yang memperkenalkan watak-watak dalam penulisan naratif. Watak utama ini akan berkembang dan diiringi dengan persoalan-persoalan yang ingin diketengahkan oleh penulis. Penulisan ini diakhiri dengan peleraian dimana watak utama berjaya mengatasi atau menyelesaikan konflik yang memuncak. Peleraian ini boleh menandakan penutup cerita atau berakhir sudah penulisan tersebut.
            Sebuah karangan naratif yang baik haruslah mengandungi unsur-unsur seperti saspens, kejutan, dilema, ironi, imbas kembali, imbas muka, konflik, ketegangan, klimaks dan sebagainya. Pelajar haruslah pandai menyelitkan unsur-unsur ini untuk menarik minat pembaca untuk terus menghayati penulisan itu.
            Berikut adalah contoh-contoh yang jelas yang memaparkan teknik-teknik yang berkesan.  Petikan-petikan ini merupakan contoh-contoh karangan yang terdapat dalam lelaman Cikgu Naim Daipi seorang guru pakar Bahasa Melayu, Saujana.
Teknik imbas muka
Aku menoleh ke kanan dan ke kiri namun adikku yang hilang tidak juga kelihatan. Namanya ku panggil berkali-kali malangnya gagal mendapat sahutan. Mahu sahaja aku menjerit sekuat-kuat hatiku tetapi apa pula kata orang nanti. Mahu sahaja aku mendapatkan pertolongan orang ramai tetapi tidak mungkin mereka dapat membantu. Ternyata mereka langsung tidak mengenalinya. Jika adikku tidak kutemui, bagaimana harus aku jawab kepada ibu bapaku? Tentu aku dipersalahkan.

Teknik Monolog
Patutkah aku terus tinggal bersama keluarga angkatku? Patutkah aku keluar sahaja
mencari haluan hidupku sendiri? Tapi, merekalah yang bersusah payah
membesarkan aku? Tak mungkin aku akan meninggalkan mereka begitu sahaja.
Aku mesti menunjukkan penghargaanku kepada mereka. Tapi, bagaimanakah
caranya?

Teknik Imbas Kembali
Masih jelas terbayang dalam ingatanku saat aku dipisahkan daripada adik
kesayanganku. Tangisannya masih kedengaran di telingaku setiap pagi aku bangun
dari tidurku.

Dengan contoh-contoh yang berkaitan dengan teknik-teknik penceritaan yang sesuai, pelajar dapat mengenalpasti apakah teknik atau gaya penulisan yang disenangi. Gaya penulisan yang dikenalpasti itu dapat dikembangkan dan dipertingkatkan lagi dengan latihan dan pembacaan yang meluas. Pembacaan yang meluas dapat mempertingkatkan lagi mutu penulisan dan mengasah ketajaman pemikiran para pelajar.
Begitu juga dengan unsur-unsur kejutan dan saspens. Dipetik dari antologi karya Ishak Latif yang sama, cerpen bertajuk ‘Kawan Maman’, urutan plot atau jalan ceritanya yang diakhiri dengan kejutan-kejutan tanpa dugaan. Cerpen ini dimulai dengan imbas kembali kehidupan watak utama dan secebis sejarah perwatakan watak utama iaitu Nora, ibu Maman. Plotnya berkembang dan memberikan gambaran rentetan-rentetan peristiwa yang berlaku ke atas diri Maman dan diceritakan dari sudut pandang atau perspektif Nora. Plot ini memuncak dengan peristiwa Maman memegang sebilah pisau sambil mengejar Nora di ruang tamu. Sejurus kemudian, penulis menukar teknik penceritaan kepada perspektif suami Nora yang sedang menceritakan kisah kematian anaknya, Maman, kepada rakan karibnya. Rentetan peristiwa berkembang dan dihentikan disaat pembantu rumahnya dihantar pulang. Di akhir cerpen ini, pembaca dihidangkan dengan hilaian tawa dari pembantu rumahnya.
Di akhir pembacaan, tercetus berbagai persoalan diantaranya seperti mengapakah pembantu rumah itu mengilai dan siapakah yang dimaksudkan dengan kawan Maman. Dari cerpen ini sahaja, pelajar dapat mempelajari beberapa elemen-elemen penting dalam penulisan naratif. Bukan sahaja pelajar mengasah kemahiran dalam pembinaan plot cerita, tetapi pelajar dapat juga pelajari bagaimana mengembangkan watak serta menyelitkan unsur-unsur saspens dan kejutan dalam penulisan naratif.
            
4.3 WATAK
            Watak merupakan teraju utama dalam menghidupkan sesebuah penulisan naratif. Tanpa watak jalan cerita tidak dapat berfungsi dan tema tidak dapat dipaparkan dengan baik dan jelas. Watak utama ini perlulah dihidupkan dengan sifat fizikal, mental dan kejiwaan untuk menjelaskan peranannya. Watak yang baik haruslah digambarkan oleh pelajar dari segi konsistensinya dalam beraksi, bercakap dan bertindak.
            Berdasarkan cerita ‘Kawan Maman’, watak Nora atau ibu Maman digambarkan sebagai seorang yang sering ditimpa kecelakaan umpama peribahasa sudah jatuh ditimpa tangga. Setelah kematian ibunya, Nora semakin runsing dan terkesan akan kehilangan itu. Selang seminggu setelah kematian ibunya,anaknya pula yang menyahut panggilan Illahi. Pelajar akan dapat mempelajari bagaimana rentetan tragedi ini digambarkan dan bagaimana penulis berjaya memaparkan perasaan trauma dan tertekan disebabkan kematian atau kehilangan orang yang tersayang.

4.4 LATAR
Latar atau setting pula terbahagi kepada dua iaitu latar fizikal dan latar masyarakat. Latar fizikal bermaksud persekitaran atau gambaran tempat dan masa sesuatu perkara itu berlaku. Manakala latar masyarakat pula mencerminkan keadaan masyarakat di tempat sesuatu perkara itu berlaku. Untuk penulisan naratif yang hanya diperuntukkan dalam masa dua jam, bagi Kertas 1 Penulisan Esei bahagian 1 dan 2,  gambaran tempat dan masa akan dapat membimbing pembaca mengikuti jalan cerita dengan lancar dan tidak terawang-awang tanpa panduan.
           
4.5 SUDUT PANDANG
            Sudut pandang menyentuh kepada cara bagaimana pelajar menghidangkan cerita kepada pembaca. Terdapat beberapa jenis sudut pandang atau dari perspektif siapa. Sudut pandang orang pertama membolehkan seorang watak dalam cerita yang menggerakkan cerita. Watak ini akan menggunakan kata ganti diri ‘aku’. Sudut pandang orang ketiga pula bermaksud pengarang bertindak sebagai pencerita dan tidak mempunyai kaitan dengan watak-watak yang terdapat dalam cerita. Berbeza dengan sudut pandang orang pertama, kata ganti diri bagi teknik ini menggunakan ‘dia’ atau ‘mereka’ atau pun nama sebagai pemilihan untuk mengisahkan cerita.
            Contoh sudut pandang orang pertama dan ketiga ialah seperti berikut:
Sudut pandang orang pertama:
Semenjak aku membuat keputusan itu, keadaan hidupku berubah. Aku tidak sangka keputusan aku anggap remeh itu mampu merubah segala-galanya. Kini, hidupku serba kekurangan.

Sudut pandang orang ketiga:
Sudah puas Diana mencuba untuk melelapkan mata namun di dalam
fikirannya masih segar terbayang peristiwa negeri yang berlaku di hadapan
matanya petang tadi. Suara jeritan pemuda yang luka akibat benturan kuat
sebuah kereta Pajero jelas terngiang-ngiang di telinganya. Diana berfikir di
dalam hati, haruskah dia melawat pemuda itu esok untuk mengembalikan
telefon bimbitnya yang tercampak di tempat kejadian...?”

            Dengan adanya contoh-contoh seperti ini, pelajar dapat membezakan apa yang dimaksudkan dengan sudut pandang orang pertama dan sudut pandang orang ketiga.

4.6 GAYA BAHASA
            Gaya bahasa merupakan stail penulisan seseorang penulis. Ianya lazimnya mempunyai unsur-unsur dramatik dan mempunyai kaitan dengan unsur keindahan bahasa. Gaya bahasa termasuk penggunaan diksi atau pemilihan kata serta pembentukan ayat. Guru boleh memberikan contoh-contoh penggunaan simili, hiperbola, personifikasi dan metafora untuk menerangkan lebih terperinci kepada pelajar.
Gaya bahasa simili atau perbandingan merupakan satu perbandingan secara eksplisit seperti berikut:
a) perasaannya terguris bagai disiat sembilu.     
b) ibarat api yang hidup segan mati tidak mahu                                                  
c) seperti burung yang terbang kepatahan sayapnya
Pelajar haruslah didedahkan dengan penggunaan frasa-frasa ini dalam bentuk ayat yang gramatis. Contoh-contoh penggunaan yang betul lebih bermanfaat kepada pelajar jika dibandingkan dengan penyediaan senarai yang lazimnya dilakukan oleh guru. Pelajar juga harus diberikan peluang untuk menggunakan contoh-contoh ini di dalam penulisan mereka ataupun dalam latihan pelajaran bahasa.
Gaya bahasa hiperbola pula adalah frasa-frasa atau kata-kata yang dapat mempertingkatkan lagi keberkesanan gambaran yang ingin disampaikan seperti
a) menggelegak api kemarahannya
b) tidak dapat lagi membendung air mata yang telah mengolam di kelopak  
    matanya

Gaya bahasa bersifat personafikasi merupakan bahasa kiasan yang menggambarkan benda-benda mati yang seolah-olah memiliki sifat kemanusiaan. Contoh-contoh personafikasi ialah
a) malam mengengsot agak perlahan
b) kabus pagi yang sejuk mengucup mesra.
c) sinaran mentari yang terik membangunkan segala isi bumi
Gaya metafora pula merupakan frasa-frasa perbandingan secara langsung iaitu memberi sifat sesuatu objek itu secara perbandingan terus seperti frasa-frasa yang berikut:
a) kotak fikiran                                               b) roda kehidupan
Unsur-unsur penulisan naratif yang telah dijelaskan ini perlu dilatih dan di diaplikasikan ke dalam penulisan naratif pelajar. Guru boleh memberikan tajuk yang sesuai dan menekankan agar pelajar mengolah penulisan mereka dengan memberi penekanan kepada unsur-unsur  yang tertentu.
           
5. RUMUSAN     
 Penulisan naratif yang dapat membangkitkan lagi mutu serta ketajaman penulisan para pelajar tidak akan terhasil dalam sekelip mata. Ianya memerlukan latihan dan usaha yang gigih dalam meningkatkan kemahiran mengarang. Walaupun terdapat unsur-unsur yang diaplikasikan dalam penulisan pelajar, sesebuah penulisan yang baik akan dapat meninggalkan kesan  kepada pembaca sekiranya penggunaan bahasanya sesuai, isi yang cukup dan berkembang serta pengolahan ceritanya yang menarik.

Kemahiran Membaca & Menulis dalam BM

Satu teknik yang dapat membantu ke arah pemahaman

1.      PENDAHULUAN
Membaca sering dianggap sebagai hirarki kemahiran. Ianya bermula dengan pemprosesan huruf, bertapak kepada membunyikan huruf, perkataan dan seterusnya berganjak kepada pemprosesan kemahiran teks atau ‘text-processing competencies’. Proses ini tidak berakhir di situ tetapi perlu disokong dengan pemahaman tentang apa yang dibaca.
Menurut seorang pakar membaca, Katherine Maria (1990), kefahaman membaca didefinisikan sebagai satu proses yang holistik atau menyeluruh yang melahirkan makna dari teks bertulis menerusi gabungan faktor-faktor seperti pengetahuan sedia ada pembaca , penafsiran pemahaman pembaca terhadap apa yang dibaca dan situasi ketika membaca teks.
Para pendidik dapat meningkatkan kefahaman murid dengan pelbagai teknik pengajaran yang berkesan.  Teknik-teknik mengajar kefahaman membaca ini berfungsi untuk membimbing murid ke arah pemahaman teks yang dibaca. Lazimnya terdapat 3 peringkat dalam proses mengajar kefahaman membaca iaitu peringkat pramembaca, sewaktu membaca dan pasca membaca.
2.      TUJUAN KAJIAN
Kajian ini akan membentangkan teknik pengajaran kefahaman membaca
menggunakan kaedah K-W-L. Kajian ini akan menjelaskan dan menunjukkan langkah-langkah yang terperinci tentang bagaimana menjalankan teknik ini di dalam bilik darjah.

 3.  ISI PERBINCANGAN
Menurut pakar membaca, John McNeil (1992), ‘schemata’ atau pengetahuan
sedia ada, adalah konsep, kepercayaan, jangkaan, proses – segala-galanya dari pengalaman masa lalu, yang akan mencorak dan menentukan pemahaman pembaca tentang apa yang dibacanya.            Menurutnya lagi, dalam pembacaan, pengetahuan sedia ada seorang pembaca akan mempengaruhi pemahaman pembaca itu.   Oleh itu, amat penting bagi para pendidik mencungkil pengetahuan sedia ada murid untuk mengembangkan lagi pemahaman tentang sesuatu teks bacaan yang akan diberikan.
            K-W-L merupakan salah satu teknik yang terbukti berkesan untuk membantu para pelajar menjadi pemikir yang aktif untuk membolehkan mereka mengingati dan memahami apa yang dibaca. (Ogle, 1986). Teknik menggunakan carta K-W-L ini bukan sahaja mencungkil pengetahuan sedia ada murid bahkan, teknik ini akan memaparkan sejauh mana pemahaman murid sebelum proses membaca dan setelah proses membaca. Teknik ini berupaya menambah-nilai (value-add) pada pengetahuan murid-murid.
            3.1 CARTA K-W-L
            K-W-L merupakan sebuah carta yang direka oleh Donna Ogle dalam 1986. Carta K-W-L ini berkesan digunakan untuk apa jua mata pelajaran, tidak kira bilangan murid yang terlibat. Selain daripada memberikan penumpuan atau berpusat kepada murid, teknik ini juga berupaya mencungkil pengetahuan sedia ada murid sebelum membaca.
Carta K-W-L ini terdiri daripada 3 bahagian. K-W-L merupakan singkatan atau akronim daripada ‘Know’, ‘Want’ dan ‘Learned’. Bahagian pertama merupakan kolum ‘K’ atau ‘Know’, berfungsi untuk mencungkil pengetahuan sedia ada murid. Murid akan melengkapkan kolum ini sebelum proses membaca. Di dalam kolum ini, murid akan menuliskan apa yang mereka ketahui tentang topik yang diberikan.
Kolum kedua ialah kolum ‘W’ atau ‘Want’. Di dalam kolum ini, murid akan menyenaraikan apa yang ingin mereka pelajari sewaktu membaca kelak. Seperti kolum K, kolum ‘W’ juga perlu dilengkapkan sebelum proses membaca. Bahkan melalui kolum ini sahaja, guru dapat maklumat tentang minat murid-muridnya terhadap teks atau topik yang diberikan. Maklumat ini tentunya dapat memainkan peranan yang penting dalam menentukan topik-topik pelajaran yang selanjutnya yang mampu menarik minat para pelajar.
Kolum yang terkahir ialah kolum ‘L’ atau ‘Learned’. Proses melengkapkan kolum ini dilakukan setelah proses membaca dijalankan. Murid akan melengkapkan kolum ini dengan pengajaran yang dipelajari atau pengetahuan yang diraih daripada proses membaca. Kolum L ini, yang dilengkapkan setelah selesai proses membaca, akan mencerminkan pemahaman murid tentang teks atau topik yang diberikan. Kolum ini juga akan memberi penanda kepada guru tentang keupayaan murid-murid itu menyaring isi-isi penting yang terdapat dapat teks bacaan atau topik yang diberikan. Melalui kolum L ini, guru dapat meninjau sejauh mana murid telah menggarap konsep-konsep yang ingin diajarkan yang terdapat dapat teks atau topik yang diberikan.



Secara ringkasnya, beginilah rupa carta K-W-L yang dimaksudkan.
K
What I KNOW?
W
What I WANT to know?
L
What have I LEARNED?
Apa yang saya
TAHU?
Apa yang
INGIN saya ketahui?
Apa yang saya PELAJARI?


Penggunaan carta K-W-L ini mempunyai berbagai sebab. Penggunaan carta ini dapat membangkitkan pengetahuan sedia ada murid tentang teks atau topik yang akan disentuh. Murid, secara tidak langsung, akan memikirkan tentang pengalaman lalu dan pengetahuan sedia ada mereka tentang teks atau topik tersebut. Ini juga akan dapat membantu seorang guru untuk mengukur sejauh mana atau sedalam mana pengetahuan murid-murid secara amnya. Guru juga dapat mengenalpasti pengetahuan asas murid tentang teks atau topik yang ingin dibincangkan. Ini tentunya akan mempermudahkan pembelajaran dan pengajaran.
Berdasarkan soalan-soalan yang dikemukakan atau maklum balas yang diberikan dalam kolum K ini, guru dapat menyesuaikan pembelajaran dan pengajaran dengan pengetahuan sedia ada murid. Melalui kolum K ini, guru juga akan dapat mengenalpasti konsep-konsep yang salah dan informasi yang kurang tepat yang diketengahkan oleh murid. Informasi begini dapat membantu guru dalam menangani penjelasan atau penerangan yang lebih menyeluruh dan memperbetulkan konsep-konsep tersebut.
            Dalam kolum W pula, murid akan dapat menambah isi yang ingin mereka ketahui perihal topik atau teks tersebut. Ini bukan sahaja menjana pemikiran aktif murid , bahkan ini dapat menjamin penyertaan murid secara aktif kerana merekalah yang memilih dan menentukan apa yang ingin mereka pelajari dari teks atau topik yang akan disentuh itu.
Selain itu, murid bukan hanya meraih pengetahuan dari teks atau topik yang dibaca, tetapi akan lebih bersemangat dan terangsang untuk mengetahui dengan lebih lanjut lagi sekiranya soalan-soalan yang mereka utarakan dalam kolum W itu tidak terjawab di dalam topik atau teks bacaan itu. Murid tidak sahaja bergantung kepada bahan teks, mereka juga akan terdorong mencari jawapan bagi soalan yang tidak terjawab dalam kolum W menerusi  bahan bacaan yang lain, internet dan juga membuat kajian lanjut perihal teks atau topik yang telah dibaca.
            Dari pandangan mata kasar, guru juga dapat mengenalpasti apakah minat dan harapan murid-murid itu. Ini dapat membantu guru dalam menyediakan latihan dan tugasan yang diminati oleh murid. Ini tentunya akan menambahkan keseronokkan pengajaran dan pembelajaran di dalam bilik darjah.
            3.2 PERSEDIAN MENGAJAR
            Tema yang akan disentuh dengan menggunakan kaedah K-W-L ialah ‘Idola Saya’. Pelajaran ini direka khas untuk murid  darjah empat dan mengambil masa satu jam atau dua waktu untuk menjalankannya. Objektif pengajaran ini ialah murid menggunakan carta K-W-L untuk mencari maklumat  tentang kehidupan seseorang yang terkenal iaitu Michael Jackson. Murid–murid akan dibahagikan kepada beberapa kumpulan untuk sesi perbincangan. Ini merupakan kali pertama murid-murid ini menggunakan teknik K-W-L dalam pembelajaran mereka. Guru akan memberikan panduan bagaimana untuk menggunakan teknik ini untuk mendapatkan maklumat sebelum memberi masa untuk sesi perbincangan secara berkumpulan. Carta K-W-L ini disediakan dan dipancarkan melalui komputer. Sebelum pembelajaran bermula, guru akan terangkan apakah fungsi setiap kolum yang dipancarkan.

LANGKAH 1: (5 minit) (Cukupkah)
Murid akan diberikan tajuk teks iaitu Michael Jackson.  Berdasarkan pada tajuk ini sahaja, setiap kumpulan dikehendaki untuk berbincang dan menyumbang saran tentang apa yang mereka ketahui tentang Michael Jackson. Setiap kumpulan diberi masa 5 minit untuk sesi perbincangan.

LANGKAH 2: (5 minit) (Cukupkah?)
Murid akan menyatakan pengetahuan sedia ada mereka tentang penyanyi terkenal ini. Setiap pernyataan atau informasi yang diberikan oleh murid akan ditaipkan di dalam kolum K. Dari informasi yang diberikan ini, guru dapat menjangkaukan sejauh mana atau sedalam mana pengetahuan murid tentang Michael Jackson.

LANGKAH 3: (5 minit)
            Guru beralih pula kepada kolum W iaitu kolum tentang apa yang ingin mereka ketahui. Murid-murid akan diberikan masa 5 minit untuk sesi perbincangan dan memikirkan soalan-soalan yang ingin mereka ketahui mengenai Michael Jackson. Guru akan menaipkan soalan-soalan yang diajukan oleh setiap kumpulan di dalam kolum W. Di akhir langkah ini, guru akan menerangkan sekali lagi hubungan antara kolum K dan kolum W.

LANGKAH 4: (20 minit)
            Sebelum diberikan teks bacaan perihal Michael Jackson, murid-murid diingatkan supaya meneliti soalan-soalan yang telah ditaip di dalam kolum W dan cuba mencari jawapannya berdasarkan teks yang diberikan. Murid-murid diberikan teks untuk dibaca dengan senyap dahulu sebelum berbincang bersama-sama di dalam kumpulan bagi menjawap soalan-soalan yang terdapat dalam kolum W.

LANGKAH 5: (10 minit)
            Di akhir 20 minit, murid-murid akan dikehendaki untuk menuliskan jawapan-jawapan bagi soalan yang diberikan tadi. Jawapan-jawapan ini akan dituliskan di dalam kolum L. Guru akan membacakan jawapan-jawapan yang diberikan dalam kolum L. Guru dan murid akan menilai kesahihan jawapan yang diberikan bersama-sama.

LANGKAH 6: PENUTUP (15 minit)
            Guru akan terangkan kaitan antara pengetahuan sedia ada yang tertera di dalam kolum K dan persoalan-persoalan yang timbul di benak mereka yang telah dituliskan di dalam kolum W. Dan akhir sekali, berpandukan teks yang diberikan, murid-murid mencuba mencari jawapan bagi persoalan yang diutarakan. Jawapan yang dicatatkan dalam kolum L merupakan apa yang telah mereka pelajari dan ketahui berpandukan teks dan soalan-soalan yang mereka bincangkan bersama. Pentingnya untuk guru menegaskan bahawa seorang pembaca yang baik akan sentiasa menggunakan pengetahuan sedia ada mereka atau sesuatu yang mereka ketahui untuk menjana soalan-soalan baru yang dapat membantu mereka pelajari sesuatu.
Guru juga perlu menerangkan bahawa ada kalanya persoalan yang diutarakan dalam kolum W tidak terjawap di dalam kolum L. Ini memerlukan sedikit kajian tambahan dari pihak murid-murid untuk mencari jawapannya. Guru juga boleh menambahkan satu lagi kolum iaitu kolum H atau How. Ini dapat membantu murid-murid mencari jawapan-jawapan yang tidak terjawap menerusi kajian di internet dan bahan bacaan yang lain.
Selain itu, murid juga perlu dijelaskan bahawa dengan adanya carta ini, akan terpapar pengetahuan sedia ada murid yang menyimpang dari kebenaran, data yang kurang lengkap ataupun informasi yang silap. Ini dapat diperbetulkan dengan adanya pernyataan atau informasi yang tepat dan betul, dicatatkan di dalam kolum L. Apa yang tercatat dalam kolum L akan memberikan panduan dan anggaran  kepada guru sejauh mana atau sedalam mana pemahaman murid-murid di akhir pelajaran ini.

RUMUSAN
                         Teknik K-W-L ini amat berkesan dalam memantau pengetahuan serta kefahaman murid berdasarkan teks atau topik yang diberikan. Walau apapun teknik dan kaedah pembelajaran yang digunakan, yang paling utama dan penting untuk para guru ialah memberikan tumpuan terhadap kemahiran berbahasa, mementingkan pembelajaran yang berkesan dan menekankan pelibatan murid secara aktif serta mengutamakan keupayaan dan keperluan setiap murid.


Kau

Kau
mengenali
mengetahui
menjelajahi
mendalami
menyelami
isi bumi
Kau
Jauhari
Aku bukan
emas permata
berlian berharga
kaca berkilau
hanya
abu
debu
menyerbu
di mata mu



Khamis, Oktober 06, 2011

Struktur Bahasa Melayu

Huraikan persamaan dan perbezaan pandangan antara Asmah (2008/1993) dan Nik Safiah Karim et al (2008) tentang gejala alomorf bagi morfem awalan meN / peN dalam tatabahasa Bahasa Melayu.


PENGENALAN
Konsep dan Definisi            
Sebelum kajian ini dimulakan, perlu diperkenalkan definisi-definisi yang penting dalam morfologi atau kajian tentang pembentukan kata dalam sesuatu bahasa.Antara istilah-istilah yang berkait rapat dalam morfologi ialah fonem, morfem dan alomorf.
Fonem merupakan unit bahasa yang terkecil yang membezakan makna seperti huruf d dan t dalam perkataan pedang dan petang. Fonem /d/ dan /t/ adalah unit yang terkecil yang dapat membezakan makna tetapi kedua-dua /d/ dan /t/ tidak mendukung makna. Ini berbeza dengan definisi morfem.
                       Morfem merupakan unit nahu yang terkecil yang mempunyai makna seperti dalam contoh perkataan makan dan makanan. Dua perkataan ini menunjukkan persamaan dan perbezaan antara makna yang didukungnya. Persamaannya ialah pada makna yang didukung oleh makan dalam kedua-dua perkataan itu. Perbezaannya pula ialah keseluruhan makna kata makanan berbeza dengan keseluruhan makna makan. Yang menimbulkan perbezaan itu ialah akhiran –an yang merupakan morfem. Maka dengan itu makanan mempunyai morfem makan dan –an yang masing-masing mempunyai maknanya tersendiri.
                        Alomorf pula merupakan varian morfem. Sesuatu morfem diwujudkan dalam bentuk fonologi sebagai suku kata, dan suku kata pula diwujudkan oleh fonem. Yang kita dengar apabila disebut sesuatu kata, kata dasar atau morfem terikat ialah kewujudan yang sebenar. Kewujudan inilah yang dinamakan alomorf dalam ilmu linguistik. Misalnya, awalan me(N)- mempunyai banyak alomorf iaitu me-, mem-, men-, meny-, meng- dan menge-. Begitu juga dengan awalan pe(N) yang mempunyai alomorf pe-, pem-, pen-, peny-, peng- dan penge-.
Batasan Kajian
                        Kajian ini akan membataskan perbincangan kepada pandangan Prof. Emeritus Datuk Dr. Asmah Haji Omar dan Prof. Emeritus Datuk Dr. Nik Safiah Karim perihal morfem yang memfokuskan kepada pengimbuhan awalan me(N). Dalam kajian ini akan dijelaskan pandangan serta pendapat kedua-dua penulis serta menghuraikan apakah persamaan dan perbezaan yang ketara antara kedua-dua penulis ini.

Bahan Kajian
                        Kajian ini akan menumpukan pandangan dan pendapat yang terkandung dalam dua buah buku yang terkini iaitu Nahu Melayu Mutakhir Edisi Kelima oleh Asmah Haji Omar (2009) dan Tatabahasa Dewan Edisi Ketiga oleh Nik Safiah Karim et al (2009).

ISI DAN PERBINCANGAN
Nik Safiah Karim serta rakan-rakan seperjuangannya dalam buku
Tatatabahasa Dewan Edisi Ketiga (2009 hlm 43), mendefinisikan morfem sebagai unit yang terkecil dalam bahasa yang mempunyai fungsi gramatis atau menjalankan tugas nahu. Morfem terbahagi kepada morfem bebas dan morfem terikat. Morfem bebas ialah morfem yang dapat wujud bersendirian manakala morfem terikat hanya wujud bersama-sama morfem lain kerana morfem terikat tidak boleh wujud tanpa kata dasar (ibid, hlm 44). Antara contoh morfem bebas ialah rumah, sekolah dan ajar. Perkataan-perkataan ini dapat berdiri dengan sendiri dan dapat mendukung makna yang tersendiri tanpa memerlukan bantuan perkataan atau morfem lainnya. Dalam perkataan tersenyum, memasak dan pengelap pula, terdapat morfem terikat bagi setiap perkataan itu iaitu ter- dalam tersenyum, me- dalam memasak dan penge- dalam pengelap. Morfem-morfem terikat yang tersenarai ini memerlukan kata atau morfem lain untuk mendukung makna. Dalam erti kata yang lain, morfem terikat ter- memerlukan morfem senyum untuk menjadikan perkataan tersenyum itu bermakna. Terdapat morfem terikat ter- dan morfem bebas senyum dalam perkataan tersenyum.
                        Menurut Nik Safiah Karim, perkataan-perkataan dalam Bahasa Melayu terdiri daripada kata dasar dan kata bentuk terbitan. Kata dasar merupakan bentuk kata terkecil yang tidak menerima sebarang imbuhan manakala kata bentuk terbitan ialah bentuk yang dihasilkan daripada proses memperluas kata dasar tadi melalui berbagai-bagai cara pembentukan kata. Proses inilah yang dinamakan imbuhan. Dalam proses imbuhan, atau penambahan unit-unit bahasa yang tertentu, akan berlakunya perubahan makna nahu. Imbuhan terbahagi kepada awalan, akhiran, sisipan, apitan, morfem kosong dan bentuk fleksi.  Dan kajian ini akan hanya memberikan tumpuan kepada imbuhan awalan khususnya awalan me(N).
                       
Jika Nik Safiah membahagikan morfem kepada morfem terikat dan morfem bebas, Asmah Haji Omar pula merincikan lagi pembahagian morfem atau varian morfem ini kepada dua jenis iaitu alomorf lingkungan dan alomorf bebas. Rincian ini merupakan perbezaan yang amat ketara dalam perbezaan pendapat dan pandangan kedua-dua penulis.


Menurut Asmah Haji Omar, alomorf lingkungan adalah alomorf yang wujudnya itu didasarkan pada lingkungan-lingkungan tertentu seperti lingkungan fonologi, lingkungan nahu atau lingkungan leksikal. Salah satu ciri alomorf lingkungan ini ialah saling menyisihkan. Alomorf lingkungan fonologi merupakan alomorf yang wujudnya ditentukan oleh ciri bunyi atau ciri-ciri fonologi yang ada di sekitarnya. Alomorf lingkungan nahu pula ditentukan oleh ciri-ciri nahu sementara alomorf lingkungan leksikal pula ditentukan oleh ciri-ciri perbendaharaan kata.
  1. Alomorf Lingkungan Nahu
Prof Asmah menjelaskan (ibid, hlm 10) bahawa untuk alomorf jenis ini, ditentukan oleh ciri-ciri nahu seperti dalam perkataan tertawa.

Perkataan
Proses
Imbuhan
tertawa
tiada pengguguran
mentertawakan
tulis
t digugurkan
menulis

Tiada pengguguran huruf t dalam perkataan mentertawakan manakala huruf t akan digugurkan dalam perkataan menulis. Ini disebabkan ter- dalam perkataan mentertawakan adalah awalan dan pengekalan t akan mempertahankan kedudukan ter- sebagai awalan. Dalam erti kata lain, terdapat dua penambahan dalam perkataan mentertawakan iaitu penambahan pertama, awalan ter- dan diikuti dengan penambahan kedua, awalan men-. Manakala huruf t akan digugurkan dalam perkataan menulis kerana awalan men- merupakan awalan yang diterima oleh kata dasar tulis.


  1. Alomorf Lingkungan Leksikal
Alomorf jenis ini ditentukan oleh ciri-ciri perbendaharaan kata seperti dalam perkataan belajar.
Kata Dasar
Proses awalan
Perkataan
ajar
bel-
belajar
kerja
be-
bekerja


Hanya perkataan belajar sahaja yang menerima proses awalan bel-. Dalam erti kata yang lain, ajar hanya boleh menerima proses awalan bel- sahaja. Begitu juga dengan perkataan kerja yang hanya menerima be- dan tidak ber- atau bel-.
  c. Alomorf Bebas
Menurut Prof Asmah, alomorf bebas merupakan alomorf yang boleh menggantikan satu sama lain. (ibid, hlm 10) Dalam penggunaan bahasa lisan, perkataan tedaya dan terdaya seringkali kita ucapkan. Dalam bentuk lisan, timbul alomorf bebas te- dan ter-. Perlu ditegaskan bahawa untuk bahasa tulisan, perkataan daya hanya menerima alomorf ter- dan bukan alomorf te-.


Jika Nik Safiah mengkategorikan morfem kepada morfem terikat dan morfem bebas, fungsi alomorf lingkungan oleh Asmah Haji Omar, yang dirincikan lagi dan terkandung di dalamnya tiga bahagian iaitu fonologi, merupakan ciri-ciri alomorf yang menentukan morfem.
                        Berdasarkan penerangan yang terkandung dalam Nahu Melayu Mutakhir , Asmah Haji Omar juga membahagikan morfem kepada morfem bebas dan morfem terikat. Sama seperti Nik Safiah Karim, definisi morfem bebas adalah morfem yang boleh berdiri sendiri sebagai satu kata atau sebagai ayat minimal. Sementara Morfem terikat pula merupakan morfem yang memerlukan bantuan morfem lain untuk membentuk kata (2009, hlm 13).
                       
PENGIMBUHAN dan PENAMBAHAN
                        Menurut Nik Safiah Karim serta rakan-rakannya dalam Tatabahasa Dewan (2009 hlm 57), Bahasa Melayu merupakan salah satu bahasa yang tergolong ke dalam jenis bahasa aglutinatif atau bahasa yang bersifat derivatif. Perkataan-perkataan dalam bahasa ini terbentuk melalui proses pengimbuhan atau penggabungan morfem kata dasar dengan morfem imbuhan yang digabungkan secara serentak.
Nik Safiah Karim mendefinisikan imbuhan sebagai unit-unit bahasa tertentu yang ditambahkan pada bentuk-bentuk lain yang menyebabkan perubahan makna nahunya (ibid, hlm 45). Bentuk awalan merupakan salah satu bentuk yang tercakup dalam pengimbuhan selain daripada akhiran, apitan dan sisipan. Menurut pandangan Asmah Haji Omar dalam bukunya Nahu Melayu Mutakhir, istilah yang digunakan ialah penambahan. Penambahan didefinisikan sebagai proses dimana sesuatu morfem terikat itu ditambahkan atai ditempelkan kepada morfem bebas (ibid, hlm 25) Proses ini terdiri daripada empat jenis iaitu penambahan awalan, penambahan akhiran, penyisipan dan penambahan serentak awalan dan akhiran.
                        Dari penerangan ini, terdapat perbezaan istilah yang digunakan oleh kedua-dua penulis ini. Asmah Haji Omar menggunakan istilah penambahan manakala Nik Safiah Karim pula menggunakan istilah ‘pengimbuhan’. Walaupun istilah yang digunakan berbeza, tetapi maksud istilah penambahan dan pengimbuhan adalah sama. Kedua-dua istilah ini menerangkan proses penerimaan atau gandingan morfem terikat dengan morfem bebas. Selain daripada definisi istilah yang digunakan membawa erti  yang sama, kedua-dua penulis ini mengklasifikasikan ‘penambahan’ dan ‘pengimbuhan’ kepada empat jenis iaitu awalan, akhiran, apitan dan sisipan.

Menurut Nik Safiah Karim et al, dalam proses pengimbuhan, lahirlah bentuk perkataan yang disebut kata terbitan (2009, hlm 67). Dan kata terbitan ini terbahagi kepada empat iaitu kata terbitan awalan, akhiran, apitan dan sisipan (2009, hlm 72) Imbuhan me(N) merupakan salah satu kata terbitan berawalan yang wujud dalam kata kerja.
                        Menurut Asmah Haji Omar pula, penambahan boleh berlaku pada tempat-tempat tertentu iaitu penambah awalan, akhiran, sisipan dan penambah terbahagi. Penambah boleh dikategorikan berdasarkan fungsinya dalam kata. Asmah Haji Omar berpendapat bahawa kata kerja terdapat dalam bentuk akar, berlapis, majmuk dan gandaan. Kata Kerja dalam bentuk akar merupakan kata kerja yang hanya terdiri daripada satu morfem bebas dan tidak terdapat padanya sebarang penambah, misalnya, tiup, bangun, alir, duduk dan sebagainya. Kata Kerja Berlapis pula merupakan kata kerja yang terdiri daripada satu morfem bebas dan sekurang-kurangnya satu morfem terikat, atau yang terdiri daripada sekurang-kurangnya dua morfem terikat (2009, hlm 135). Bentuk berlapis untuk kata kerja ini dihasilkan dengan proses penambahan dan penambah me(N) merupakan salah satu penambah yang menghasilkan kata kerja berlapis.
                        Terdapat persamaan dalam proses penambahan atau pengimbuhan. Kedua-dua penulis mengklasifikasikan penambahan atau pengimbuhan ini berlaku pada bahagian awalan, akhiran, sisipan dan apitan. Yang membezakan kedua-dua penulis ini ialah istilah yang berbeza untuk menerangkan proses Kata Nama Terbitan. Asmah Haji Karim menggunakan istilah ‘kata kerja berlapis’ manakala Nik Safiah Karim menggunakan istilah ‘kata kerja terbitan’. Selain perbezaan penggunaan istilah, kedua-dua penulis ini bersetuju bahawa penambah me(N) atau imbuhan me(N) menghasilkan kata kerja berlapis atau kata kerja terbitan.

1a) Pandangan Nik Safiah Karim et al dalam Tatabahasa Dewan
Alomorf bagi morfem awalan me-
                        Awalan meN- ialah awalan yang membentuk kata kerja aktif, sama ada transitif atau tak transitif. Awalan ini mempunyai empat varian iaitu me-, mem-, men- dan meng-. Varian awalan meN- ini bergantung kepada huruf pertama kata dasar yang bercantum dengannya. Awalan me- dipengaruhi oleh bunyi atau fonem pertama dalam kata dasar yang bermula dengan huruf l, m, n, ny, ng, r, w dan y seperti dalam contoh perkataan-perkataan yang berikut:
Awalan me- (ibid, hlm 151)
Huruf
awal
Kata dasar
Imbuhan me-
l
lawan
melawan
m
masak
memasak
n
nanti
menanti
ny
nyala
menyala
ng
nganga
menganga
r
rayu
merayu
w
wangi
mewangi
y
yakin
meyakin(kan)

                        Ditambahkan juga ke dalam jenis ini kata dasar yang bermula dengan huruf p, t, k dan s. Huruf pertama dalam kata dasar berubah menjadi bentuk sengau yang sama daerah artikulasinya iaitu m menggantikan p, n menggantikan t, ng menggantikan k dan ny menggantikan s.
Awalan me- (ibid, hlm 152)
Huruf
awal
Kata dasar
Digugurkan
Digantikan
Imbuhan me-
p
pesan
p
m
memesan
pukul
memukul
t
tetap
t
n
menetap
tari
menari
k
karang
k
ng
mengarang
kata
mengata
s
salin
s
ny
menyalin
sinar
menyinar

1b) Pandangan Asmah Haji Omar dalam Nahu Melayu Mutakhir
Alomorf bagi morfem awalan me-
Terdapat perbezaan yang ketara dalam senarai varian me(N)- pada  pandangan Asmah Haji Omar.  Jika Nik Safiah menyenaraikan hanya empat varian me(N)- iaitu me-, mem-, men- dan meng-, Asmah Haji Omar menyenaraikan enam varian me(N)- dalam Nahu Melayu Mutakhir iaitu tambahan meny- dan menge- (2009, hlm 9).
                        Menurut Asmah Haji Omar, morfem awalan me dipengaruhi oleh bunyi atau fonem pertama dalam kata dasar yang bermula dengan huruf l, m, ng, ny, m dan w seperti dalam contoh perkataan-perkataan yang berikut:

Awalan me- (ibid, hlm 9)
Huruf
awal
Kata dasar
Imbuhan me-
l
lukis
melukis
m
masak
memasak
ng
nganga
menganga
ny
nyanyi
menyanyi
r
raung
meraung
w
warna
mewarna

                        Terdapat perbezaan pandangan dalam senarai huruf yang memerlukan imbuhan me-. Menurut Asmah Haji Omar, huruf n dan y tidak termasuk dalam senarai bunyi atau fonem pertama dalam kata dasar yang memerlukan imbuhan me. Selain perbezaan huruf n dan y, terdapat juga perbezaan pendapat serta pandangan oleh Asmah Haji Omar dengan kata dasar yang bermula dengan huruf p, t, k dan s.
                        Lazimnya kata dasar yang bermula dengan huruf n dan y dalam Bahasa Melayu merupakan perkataan yang memerlukan bukan sahaja awalan me- tetapi akhiran –i atau –kan, kecuali perkataan nanti.
Huruf
awal
Kata dasar
Imbuhan me-





n


nanti
menanti
menantikan

naik
menaiki
menaikkan
nafi
menafikan

nasihat
menasihati
menasihatkan

nama
menamai
menamakan
nikmat
menikmati
noda
menodai

y

yakin
meyakini
meyakinkan


Tidak terdapat kata dasar yang lain selain daripada perkataan yakin, yang bermula dengan huruf y yang tersenarai dalam Kamus Dewan Edisi Keempat (2007) yang menerima imbuhan me-.

2a) Pandangan Nik Safiah Karim et al dalam Tatabahasa Dewan
Alomorf bagi morfem awalan mem- 
Awalan meN- menjadi mem- apabila diimbuhkan pada kata dasar yang bermula dengan huruf b, perkataan pinjaman yang bermula dengan huruf f, p dan v serta gugus konsonan yang bermula dengan huruf b dan p.
Awalan mem- (ibid, hlm 152)
Huruf
awal
Kata dasar
Imbuhan mem-

b
beri
memberi
bantu
membantu
bilas
membilas

Perkataan pinjaman yang bermula dengan huruf f,p dan v yang mengekalkan huruf pertamanya untuk mempertahankan etimologi kata asalnya seperti:
Awalan mem- (ibid, hlm 153)
Huruf
awal
Kata dasar
Imbuhan mem-

f
fitnah
memfitnah
fatwa
memfatwa(kan)
v
veto
memveto


p
pamer
mempamer(kan)
popular
Mempopular(kan)
proses
memproses
praktik
mempraktik
plaster
memplaster

b
blok
memblok
brek
membrek

Menurut Nik Safiah, terdapat beberapa perkataan yang bermula dengan huruf p yang menerima awalan mem- seperti contoh:
Awalan mem- (ibid, hlm 153)
Huruf
awal
Kata dasar
Imbuhan mem-


p
pelopor
mempelopor(i)
pelawa
mempelawa
percaya
mempercaya(i)
punya
mempunya(i)
peduli
mempeduli(kan)

2b) Pandangan Asmah Haji Omar dalam Nahu Melayu Mutakhir
Alomorf bagi morfem awalan mem- 
Hanya terdapat perbezaan pada pandangan Asmah Haji Omar perihal kata dasar yang bermula dengan huruf p. Tiada pengguguran yang berlaku dalam proses penambahan yang lain kecuali huruf p seperti dalam perkataan-perkataan yang berikut:
Awalan mem- (ibid, hlm 9)
Huruf
awal
Kata dasar
Pengguguran
Imbuhan mem-


p
pukul


p digugurkan
memukul
panjat
memanjat
pusing
memusing(kan)
putar
memutar(kan)
pandang
memandang
b
bancuh

Tiada pengguguran
membancuh
f
fail
memfail
v
variasi
memvariasi

3a) Pandangan Nik Safiah Karim et al dalam Tatabahasa Dewan
Alomorf bagi morfem awalan men- 
Awalan meN- menjadi men- apabila diimbuhkan pada kata dasar yang
bermula dengan huruf d, c, j, sy dan z, perkataan yang bermula dengan huruf t,s serta perkataan pinjaman yang mengandungi gugus konsonan yang juga bermula dengan huruf t dan s.
Awalan men- (ibid, hlm 153)
Huruf
awal
Kata dasar
Imbuhan mem-

d
deru
menderu
dayung
mendayung
duga
menduga

c
cari
mencari
cuci
mencuci

j
jemur
menjemur
jaja
menjaja

sy
syarat
mensyarat(kan)
syukur
mensyukur(i)

z
ziarah
menziarah(i)
zalim
menzalim(i)


                        Terdapat juga perkataan pinjaman yang mengekalkan huruf pertamanya untuk mempertahankan etimologi kata asalnya iaitu:
Awalan men- (ibid, hlm 154)
Huruf
awal
Kata dasar
Imbuhan mem-

t
tadbir
mentadbir
tafsir
mentafsir
takrif
mentakrif
tauliah
mentauliah
terjemah
menterjemah
transkripsi
mentranskripsi


s
sintesis
mensintesis
swasta
menswasta
stabil
menstabil
skru
menskru


                        Terdapat dua kecualian pada bentuk kata dasar iaitu ternak dan tertawa yang menerima awalan men- tanpa berlaku pengguguran.
Awalan men- (ibid, hlm 154)
Huruf
awal
Kata dasar
Imbuhan mem-

t
ternak
menternak
tertawa
mentertawa(kan)


3b) Pandangan Asmah Haji Omar dalam Nahu Melayu Mutakhir
Alomorf bagi morfem awalan men- 
Morfem awalam men- pula dipengaruhi oleh kata dasar yang bermula dengan s, t, c dan d. Hanya huruf s dan t sahaja yang gugur sewaktu proses penambahan seperti dalam contoh perkataan-perkataan berikut:


Awalan men- (ibid, hlm 9)
Huruf
awal
Kata dasar
Pengguguran
Imbuhan men-
s
saman
s digugurkan
menyaman
t
tanda
t digugurkan
menanda
c
cantas
Tiada pengguguran
mencantas
d
dongak
mendongak



4a) Pandangan Nik Safiah Karim et al dalam Tatabahasa Dewan
Alomorf bagi morfem awalan meng- 
Awalan meN- menjadi meng- apabila digabungkan dengan kata dasar yang bermula dengan huruf g, gh, kh dan h (bunyi konsonan) dan semua huruf vokal.
Awalan meng- (ibid, hlm 155)
Huruf
awal
Kata dasar
Imbuhan mem-

g
gali
menggali
gulung
menggulung

gh
ghairah
mengghairah
ghaib
mengghaib(kan)

kh
khusus
mengkhusus
khayal
mengkhayal

h
hantar
menghantar
heret
mengheret

a
ambil
mengambil
alir
mengalir

e
ejek
mengejek
embun
mengembun
elak
mengelak
i
ikut
mengikut

ikat
mengikat
o
olah
mengolah
u
ulang
mengulang
ulit
mengulit



Menurut Nik Safiah, perkataan pinjaman yang huruf pertamanya huruf k,  tidak akan mengalami pengguguran demi mempertahankan etimologi kata asalnya seperti berikut:

Awalan meng- (ibid, hlm 155)
Huruf
awal
Kata dasar
Imbuhan mem-



k
kabul
mengkabul(kan)
kanun
mengkanun(kan)
katalog
mengkatalog(kan)
kategori
mengkategori(kan)
klasifikasi
mengklasifikasi(kan)
kritik
mengkritik


Nik Safiah dan rakan-rakan seperjuangannya telah mengklasifikasikan menge- dalam penjelasan imbuhan meng-. Imbuhan meng- akan bertukar menjadi menge- apabila diimbuhkan pada kata dasar yang bersuku kata satu, baik perkataan Melayu mahupun kata pinjaman seperti:
Awalan menge- (ibid, hlm 155)
Kata dasar
Imbuhan mem-
cat
mengecat
bom
mengebom
sah
mengesah
pos
mengepos
tin
mengetin
kod
mengekod


Berdasarkan penerangan Nik Safiah Karim, terdapat pengecualian pada kata pinjaman yang bermula dengan gugus konsonan iaitu meng- tidak berubah menjadi menge- seperti dalam contoh:
Awalan meng- (ibid, hlm 155)
Kata dasar
Imbuhan meng-
stor
mengstor
brek
mengbrek
klip
mengklip


4b) Pandangan Asmah Haji Omar dalam Nahu Melayu Mutakhir
Alomorf bagi morfem awalan meng- 
Seperti Nik Safiah Karim, Asmah Haji Omar juga berpendapat bahawa morfem awalan meng- dipengaruhi oleh kata dasar yang bermula dengan huruf k, g, h, kh, gh dan semua vokal. Hanya huruf k yang akan gugur dalam proses penambahan seperti dalam perkataan-perkataan berikut:
Awalan meng- (ibid, hlm 9)
Huruf
awal
Kata dasar
Imbuhan meng-
k
kunci
mengunci
g
gari
menggari
h
halau
menghalau
kh
khatam
mengkhatam
gh
ghairah
mengghairah
a
ambil
mengambil
e
eram
mengeram
i
ikut
mengikut
o
olah
mengolah
u
upah
mengupah

                       
Walaupun, penerimaan imbuhan menge- akan berlaku sekiranya digabungkan dengan kata dasar yang mempunyai satu suku kata, seiring dengan pendapat Nik Safiah, Asmah Haji Omar pula berpendapat bahawa imbuhan menge- merupakan salah satu varian yang tersendiri dalam alomorf me(N).
Morfem awalan menge- ditentukan oleh kata dasar yang mempunyai satu suku kata seperti contoh perkataan-perkataan yang diberikan.
Awalan menge-
Satu suku kata
Imbuhan menge-
bom
mengebom
cam
mengecam
cat
mengecat
had
mengehad
pos
mengepos


Lazimnya, pengguguran konsonan pertama dalam alomorf me(N) itu merupakan fonem yang tidak bersuara.

                        Menurut pandangan dan penerangan Asmah Haji Omar dalam bukunya Nahu Melayu Mutakhir (2009, hlm 9), awalan meny- dipengaruhi oleh kata dasar yang bermula dengan s dan c. Dalam proses penambahan, hanya huruf s yang akan gugur seperti dalam senarai di bawah.
Awalan meny-
Huruf
awal
Kata dasar
Imbuhan meny-

s
sesuai
menyesuai
salah
menyalah
sahut
menyahut


Tiada pula kata dasar yang bermula dengan huruf c yang menerima imbuhan meny- dalam Kamus Dewan Edisi Keempat. Tiada penjelasan yang diberikan oleh Nik Safiah Karim mengenai imbuhan awalan meny-.

Rumusan
                        Proses pembentukan kata dalam sesuatu bahasa ialah proses penyusunan morfem menurut peraturan sistem morfologi bahasa itu. Dalam kebanyakan bahasa, proses pembentukan perkataan melibatkan pengimbuhan. Berlandaskan kajian yang telah dibentangkan ini, bahasa Melayu mampu berkembang dan berevolusi berlandaskan teori dan pendekatan yang ada sejajar dengan peredaran semasa. Walaupun terdapat dua cendekiawan yang menzahirkan pendapat dan pandangan yang bercambah, ianya merupakan sumber  rangsangan serta memperkayakan pemikiran setiap pembaca terutama sekali kepada penuntut yang ingin mendalami bidang ini.

  • Asmah Haji Omar, 2009. Nahu Melayu Mutakhir. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan
Pustaka

  • Asmah Haji Omar, 2008. Ensiklopedia Bahasa Melayu. Kuala Lumpur: Dewan
Bahasa dan Pustaka.

  • Nik Safiah Karim, Farid M. Onn, Hashim Haji Musa, Abdul Hamid Mahmood,  2009.
Tatabahasa Dewan Edisi Ketiga. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka

  • 2007. Kamus Dewan Edisi Keempat. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka