Khamis, Oktober 06, 2011

Faktor-Faktor Yang Mempengaruhi Perkembangan Sastera Melayu

MUKADIMAH
                        Perkembangan sastera Melayu dipengaruhi oleh beberapa faktor yang bersifat luaran dan dalaman. Bahasa yang didukung bangsanya akan hidup dan terus kukuh tanpa ditelan zaman. Sebaliknya akan berlaku, sekiranya bangsa itu sendiri yang memandang lekeh akan kemampuan bahasanya. Kajian ini akan menumpukan dan memperlihatkan sejauh mana perkembangan sastera Melayu di Singapura seawal tahun 1965 setelah berpisah dari Malaysia.  Beberapa faktor dalaman yang memainkan peranan penting dalam menggerakkan sastera Melayu akan disentuh dalam kajian ini.
                        Kajian ini akan melihat perkembangan sastera Melayu merangkumi penghasilan prosa dan puisi moden. Ada ketikanya, genre prosa iaitu cerpen dan novel itu lebih berkembang jika dibandingkan dengan puisi moden dan ada masanya sebaliknya yang berlaku. Sastera Melayu dikatakan berkembang sekiranya karya-karya yang bermutu dapat dihasilkan dan perancangan-perancangan yang tertentu dijalankan, demi menggalakkan dan menyemarakkan lagi penghasilan karya.
Prosa moden terbahagi kepada dua genre iaitu cerpen dan novel. Cerpen merupakan karya-karya yang berbentuk cerita pendek, yang mempunyai satu plot yang meliliti satu tema atau persoalan sahaja. Penampilan watak terhad bilangannya dan jumlah perkataannya pula dalam lingkungan 500 hingga 20 000 patah perkataan sahaja. Ini berbeza dengan sebuah karya novel. Novel didefinisikan sebagai cerita rekaan yang berbentuk prosa naratif yang agak panjang. Watak-watak rekaannya mewakili kehidupan manusia dalam dunia realiti dan merupakan gabungan antara fakta dan imaginasi penulis. Novel lebih terserlah dengan gambaran situasi masyarakat sekeliling dan juga peristiwa-peristiwa yang berlaku mengikut peredaran zamannya.
SKOP KAJIAN
Skop kajian ini akan menyentuh dan menyatakan faktor-faktor utama yang memainkan peranan dalam perkembangan sastera Melayu di Tanah Melayu pada tahun-tahun 1920-an hingga 1960-an. Ini perlu untuk membuat perbandingan perkembangan Sastera Melayu sebelum dan sesudah Singapura berpisah dengan Malaysia. Kajian yang lebih terperinci akan dibentangkan ketika meninjau sejauh mana perkembangan sastera Melayu di Singapura selepas 1965.
BAHAN KAJIAN
                        Karya yang terpilih dan dikupas dalam perbentangan ini terdiri daripada sebuah  sajak karya Mohd Latiff Mohd yang bertajuk Bangsaku di Hari Lahirku dan sebuah novel, Mail Mahu Kahwin yang ditulis oleh Muhammad Ariff Ahmad (MAS).

ISI DAN  PERBINCANGAN
Sastera Melayu pada awal zaman 1920 an
Kajian ini akan cuba menjejaki perjalanan dan perkembangan sastera pada seawal tahun 1920-an. Antara faktor dalaman yang menyumbangkan kepada kepesatan penyebaran sastera ialah kemunculan alat cetak dan ruang yang lebih luas disediakan untuk menyiarkan karya-karya sastera amnya dan cerpen khususnya. Majalah-majalah yang terawal yang memainkan peranan ini ialah majalah Pengasuh, Majalah Guru, Masa, Dunia Melayu, Penyuluh, Suara Melayu, Al-Ikhwan, Lembaran Guru dan banyak lagi. Menurut Dr Arba’ie, dalam bukunya yang bertajuk, ‘Sastera Melayu Suatu Pengantar’ (2008, hlm 48), sehinggalah tahun 1941, terdapat 153 akhbar dan majalah yang menyediakan ruang menerbitkan cerpen. Maka dengan itu penerbitan cerpen semakin pesat dan berkembang. Ini sekaligus merancakkan lagi penghasilan karya-karya sastera serta penyebaran sastera Melayu.
Selepas Perang Dunia Kedua, karya-karya sastera telah diterbitkan oleh majalah Semangat Asia, Fajar Asia disamping Berita Malai. Pada ketika itu, para pengkarya merupakan penulis-penulis cerpen dan diantaranya ialah Haji Abdul Rahim Kajai, Ishak Haji Muhammad, A Samad Said dan Abdullah Jamel. Kebanyakan cerpen-cerpen yang dihasilkan berkisar tentang kesopanan timur, kebajikan masyarakat, semangat gotong-royong, kehidupan, adat resam, hal ehwal masyarakat, politik dan darurat. Tema yang dominan pada ketika itu ialah tentang nilai-nilai dalam perhubungan lelaki dan wanita, percintaan, ikatan kekeluargaan,semangat dan erti perjuangan orang-orang Melayu selepas perang.
Jika penghasilan cerpen menunjukkan kemajuan yang memberangsangkan pada awal tahun 1920-an, perkembangan sastera berbentuk novel pula mula bertapak. Pada awal 1920-an, terciptalah karya pembuka tradisi dalam penulisan novel Melayu iaitu Hikayat Faridah Hanum oleh Syed Sheikh al-Hadi pada tahun 1925. Novel ini telah mengorak langkah yang pertama dimana isi, perwatakan dan latar novel ini telah tersimpang jauh dari ciri-ciri konvensional hikayat-hikayat sebelumnya. Pengarang-pengarang pada tahun 1920-an merupakan pengarang-pengarang agama akibat tercetusnya polimik agama antara kaum tua dan kaum muda yang dipelopori oleh Syed Sheikh al-Hadi dan rakan-rakannya. Pengarang-pengarang muda ini berpendapat bahawa ajaran-ajaran agama dari kaum tua  itu tidak bersesuaian lagi dalam perkembangan dan kemajuan bangsa sendiri. Selain daripada Hikayat Faridah Hanum, era ini menghasilkan novel-novel terjemahan seperti novel Robin Hood, Sherlock Holmes dan novel Pulau Karang. Ketiga-tiga novel terjemahan ini diterjemahkan oleh Yazid Ahmad. (Arba’ie et al, 2008).
Sastera Melayu pada awal zaman 1930-an hingga 1940-an
Bermula pada tahun 1930-an hinggalah 1940-an, kepesatan perkembangan novel semakin rancak dan memberangsangkan. Lahirlah penulis-penulis proaktif di antaranya ialah Abdullah Sidek dengan 14 karya novelnya, Shamsuddin Salleh dengan 13 karya serta Ahmad Rashid Talu dengan 6 novelnya.
Salah satu faktor dalaman yang memperkayakan bilangan penulis novel ialah timbulnya kesedaran dalam kalangan masyarakat Melayu tentang perlunya menghantar anak-anak mereka ke sekolah. Ini menyebabkan bertambahnya bilangan sekolah-sekolah yang didirikan. Oleh kerana itu, semakin bertambahlah bahan-bahan bacaan yang diperlukan. Kesempatan ini tidak hanya digunakan untuk melahirkan buku-buku bacaan sekolah rendah malah diusahakan juga buku-buku untuk bacaan umum.
Kehadiran sayembara dan peraduan yang dianjurkan Jabatan Penerangan Persekutuan Tanah Melayu dan sokongan dari kerajaan telah dapat mencungkil bakat-bakat penulis yang menghasilkan karya-karya yang bermutu seperti novel Nyawa di Hujung Pedang karya Ahmad Murad Nasruddin yang memenangi tempat pertama. (Arba’ie et al, 2008) Ianya merakamkan kekejaman tentera Jepun ketika Jepun menduduki Tanah Melayu.
Sastera Melayu pada dekad 1950-an
Pada tanggal 6 Ogos 1950, Angkatan Sasterawan 50 telah ditubuhkan di Singapura. Tertubuhnya badan ini merupakan faktor dalaman yang utama yang telah merancakkan lagi perkembangan dan perjuangan penulis-penulis novel dan cerpen ketika itu. ASAS 50, yang berkonsep memperjuangkan dan meninggikan perkembangan bahasa dan kesusasteraan Melayu, telah berjaya meniupkan kesegaran dan semangat penulis-penulis untuk terus berkarya. Novel-novel pada era ini telah membawa tema yang lebih getir seperti penderitaan darurat, penindasan penjajahan, kecurangan dan ketidakadilan yang dihadapi oleh masyarakat zamannya.
Antara penulis pada zaman itu ialah Tongkat Warrant dan Keris Mas. Menurut hasil kajian yang telah dijalankan oleh Bahagian Pendidikan Penyelidikan, Dewan Bahasa dan Pustaka pada tahun 1968, sebanyak 2600 buah cerpen telah dihasilkan oleh lebih kurang 900 orang penulis dari tahun 1951 hingga tahun 1957. (Arba’ie et al, 2008) Ini bermaksud lebih kurang 371 karya yang terhasil dalam setahun atau lebuh kurang sebuah karya telah dihasilkan dalam masa sehari.
Perkembangan ini semakin rancak dan pesat pada tahun-tahun selanjutnya. Faktor dalaman yang sama pentingnya dengan tertubuhnya ASAS 50 ialah  bertambahnya jumlah wadah penampungan untuk berkarya seperti di akhbar dan majalah. Lebih banyak ruang yang memberikan wadah untuk seorang penulis menerbitkan karyanya di dalam dada akhbar. Bahkan, penulis juga berpeluang dan terdorong untuk berkarya dengan adanya faktor dalaman yang ketiga iaitu sayembara dan peraduan-peraduan yang dianjurkan oleh pihak akhbar serta majalah. Maka lahirlah penulis-penulis cerpen yang unggul seperti Shahnon Ahmad, Arena Wati dan Masuri S.N.
Selain ASAS 50, Dewan Bahasa dan Pustaka pula merupakan faktor dalaman yang bertanggungjawab mewujudkan novel-novel yang bermutu yang bertemakan kepincangan ekonomi, implikasi kemasukan budaya barat dan permasalahan sosial yang lain. Novel Salina karya A Samad Said dan Tak Ada Jalan Keluar karya S. Markasan telah memenangi hadiah penghargaan peraduan novel yang dianjurkan oleh DBP pada tahun 1958.

Sastera Melayu pada dekad 1960-an hingga 1970-an
Pada dekad ini, jumlah novel yang terhasil dapatlah dianggap sebagai tahun-tahun keghairahan bagi para novelis tanah air, baik di Tanah Melayu mahupun di Singapura. Golongan novelis sekitar tahun ini mempamerkan pembelaan kehidupan sosial masyarakat yang tinggal di luar-luar bandar. Ini dapat dilihat menerusi novel Ranjau Sepanjang Jalan (1965) karya Shahnon Ahmad. Ia mengisahkan tentang kemiskinan bangsa Melayu yang tinggal di pedalaman yang menghadapi kesusahan, penekanan, penderitaan, penyakit dan konservatisme.
Bermula dengan 1960-an hinggalah 1970-an, lahirlah beberapa penulis wanita yang turut sama menyumbangkan tenaga mereka di arena perkembangan kesusasteraan tanahair. Mereka terdorong untuk tampil dan berkarya kerana dorongan rasa protes terhadap novelis lelaki yang mereka anggap tidak dapat memaparkan masalah-masalah yang dihadapi oleh kaum wanita secara wajar dan saksama. Penulis-penulis wanita ini cuba memaparkan masalah-masalah yang dihadapi oleh kaum wanita secara lebih wajar, teliti dan sesuai dengan pandangan, fikiran serta pengalaman mereka dalam menghadapi persoalan keluarga dan rumahtangga.
Tertubuhnya institusi kesusasteraan selain dari Dewan Bahasa dan Pustaka seperti PENA (Persatuan Penulis Nasional) merupakan salah satu faktor dalaman yang bertanggungjawab mengadakan forum, seminar dan aktiviti yang menggalakkan perkembangan kesusasteraan khususnya penulisan novel, cerpen dan puisi. Selain itu, kewujudan syarikat-syarikat penerbitan buku seperti Utusan Melayu, Pustaka Antara dan Penerbitan Federal juga memainkan peranan bagi merealisasikan perkembangan sastera Melayu. Ini disokong dengan lahirnya penulis-penulis yang berpelajaran ekoran peningkatan dari segi pendidikan seperti maktab-maktab perguruan dan pusat pengajian tinggi, Jabatan Bahasa Melayu Universiti Malaya di Singapura (1959) yang telah dipindahkan ke Kuala Lumpur dan dirasmikan pada tahun 1962. Selain itu, kehadiran para pengkritik sastera membakarkan semangat para penulis untuk menghasilkan karya-karya yang bermutu.

Sastera Melayu di Singapura pada tahun 1965 hingga kini
Tahun 1965 merupakan bermulanya titik sejarah yang memisahkan Singapura dari Malaysia. Perpisahan ini merupakan faktor luaran yang terpenting yang mencetuskan pelbagai masalah bangsa Melayu di Singapura dari segi ekonomi, pendidikan, sosial dan jati diri.
Perpisahan ini mengakibatkan kedudukan orang Melayu menjadi kaum minoriti di Singapura. Bangsa Melayu Singapura bukan sahaja kecil dari segi bilangannya tetapi kecil juga dari segi kuasa ekonomi dan politik. Perpisahan ini juga menjejaskan perkembangan penghasilan sastera Melayu di Singapura. Pemerintah Singapura lebih menumpukan kepada hal-hal penakatan terutama sekali dalam bidang ekonomi dan politik berbanding dengan kebudayaan dan seni khususnya dalam bidang sastera. Oleh kerana itu, perkembangan sastera di Singapura pada awal 1970-an tidak begitu menggalakkan.
Dalam mengungkapkan permasalahan yang timbul ekoran perpisahan itu, terhasillah karya-karya yang memaparkan serta mencerminkan masyarakat Melayu yang mencari-cari identiti sendiri. Dalam sajak Bangsaku di Hari Lahirku karya Mohd Latiff Mohd yang dituliskannya pada tanggal 19 Mei tahun 1974, dapat dirasakan perasaan yang hampa dan kecewa apabila memikirkan masalah yang dihadapi dan dialami oleh bangsanya yang tertekan dan dihimpit keadaan.
Bangsaku di Hari Lahirku oleh Mohd Latiff Mohd
Mereka berkumpul lagi
Cerita pasal harga membukit tinggi
Beca rosak karat menanti
Perut isteri buncit lagi
Inilah bangsaku
Mereka berkumpul lagi
Bicara bakal kerja apa patut dicari
Sekolah sudah berhenti
Sijil angka enam di hujung kaki
Inilah bangsaku
Mereka berkumpul lagi
Di flet-flet mencakar langit
Di hotel-hotel tegak membukit
Di kasino-kasino berderet
Anak-anakku mengangguk menunduk
Minta kerja tukang sapu putung rokok
Inilah bangsaku
Di kicauan sains dan teknologi
Di puncak politik dunia sepi
Di kederasan ekonomi
Ummiku punya mimpi sendiri
Punya nasib sendiri
Punya takdir sendiri
Di kiri duri, di kanan api


Dalam sajak ini, Mohd Latiff Mohd melafazkan rentetan musibah yang berlaku ke atas bangsanya. Sikap kepekaan dan keprihatinannya terhadap masyarakatnya menghasilkan sebuah karya yang menonjolkan perjuangannya menyedarkan masyarakatnya agar keluar daripada lingkaran musibah itu. Penulis amat peka dengan resam masyarakatnya yang mempunyai keluarga yang ramai, tidak berpendidikan dan hanya lulus darjah enam. Penulis juga arif dengan sikap bangsanya yang selalu mengikut kata, rela menerima serta suka berdiam diri dalam baris, ‘mengangguk menunduk’. Dan akibat sifat-sifat inilah, ramai bangsa Melayu yang tidak bergerak maju ke hadapan, berpeluk tubuh dan duduk di takuk lama walaupun sedar peralihan zaman yang sudah berubah. Akhirnya merugikan diri sendiri kerana ‘di kirinya duri dan di kanan api’. Lingkaran ini ternyata masih membelenggu masyarakat Melayu hingga ke hari ini.
Salah satu permasalahan sosial yang melingkari bangsa Melayu sehingga kini ialah penagihan dadah. Menurut perangkaan yang dikeluarkan oleh pihak Central Narcotics Bureau (CNB), sebanyak 2272 penagih dadah bangsa Melayu yang ditangkap pada tahun 1997. Jumlah ini adalah yang tertinggi jika dibandingkan dengan bangsa-bangsa yang lainnya seperti bangsa Cina di mana hanya 1699 tertangkap dan 701 penagih dadah yang berbangsa India. Masalah penagihan dadah ini amat meruncing pada tahun-tahun sebelumnya disebabkan beberapa faktor diantaranya seperti kurang penekanan kepada pendidikan.
Dari segi pendidikan, masyarakat Melayu masih jauh ketinggalan dibandingkan dengan bangsa-bangsa yang lain. Faktor dalaman ini juga memainkan peranan penting dalam mempengaruhi perkembangan sastera Melayu. Ilmu pengetahuan merupakan kunci utama kemajuan sesebuah bangsa. Dalam perangkaan yang dikeluarkan pada tahun 2000, terdapat sedikit kemajuan yang ditunjukkan oleh bangsa Melayu dari segi pendidikan. Kemajuan dari 36 peratus naik kepada 50 peratus dari bangsa Melayu yang memperolehi lebih dari pendidikan sekolah menengah. Kemajuan atau kenaikan sebanyak 14 peratus itu hanya kecil jika dibandingkan dengan bangsa-bangsa lain seperti bangsa Cina dan India. Bangsa Cina mempunyai 58 peratus sementara 62 peratus dari bangsa India yang memperolehi pendidikan menengah dan pos-menengah. Kita masih jauh ketinggalan dalam bidang pendidikan.

Begitu juga dengan perangkaan bagi kemasukan ke univerisiti. Terdapat hanya 0.6 peratus pada tahun 1990 dan 2.0 peratus dalam tahun 2000 untuk bangsa Melayu yang layak ke universiti. Angka ini amatlah kecil jika dibandingkan dengan bangsa Cina iaitu dari 5.1 peratus pada tahun 1990 melonjak naik kepada 12.6 peratus pada tahun 2000. Berbeza dengan bangsa India, yang pada mulanya mempunyai 9.6 peratus pada tahun 1990, melompat naik 3 kali ganda kepada 27.5 peratus pada tahun 2000.
Faktor dalaman yang juga memainkan peranan mempengaruhi perkembangan sastera Melayu ialah dasar mengambil Bahasa Inggeris sebagai bahasa pengantaraan di Singapura. Ini bermakna penekanan terhadap bahasa Inggeris yang ketara oleh pemerintah telah menyebabkan ramai masyarakat Melayu yang menghantar anak-anak mereka ke sekolah yang beraliran Inggeris. Akhirnya lewat tahun 1970-an, sekolah-sekolah yang beraliran Melayu telah ditutup. Faktor dalaman ini telah sedikit sebanyak menyekat perkembangan sastera Melayu pada ketika itu disebabkan penuturnya yang memandang ringan akan fungsi bahasanya sendiri.
Para pelajar tidak dapat menggunakan bahasa Melayu untuk berfikir secara intelektual. Ini terbukti apabila mereka terpaksa menggunakan peralihan kod (code switch) dan menterjemahkan pemikiran mereka yang bergerak dalam bahasa Inggeris ke dalam Bahasa Melayu apabila diwawancara oleh pihak media. Di akhir wawancara,  dapat dikira hanya beberapa perkataan sahaja yang dilafazkan di dalam Bahasa Melayu dan yang selebihnya, tentunya, dalam Bahasa Inggeris.  Ini berlaku kerana bahasa Inggeris merupakan bahasa utama di Singapura dan digunakan dalam semua mata pelajaran di peringkat sekolah rendah kecuali Pelajaran Siviks dan Pendidikan Moral (CME). Begitu juga dengan di peringkat sekolah menengah di mana Bahasa Inggeris digunakan untuk mengajar kesemua mata pelajaran iaitu Matematik, Sains, Ilmu Alam, Sejarah, Sastera Inggeris dan sebagainya. Hanya pelajaran Bahasa Melayu sahaja yang memberikan ruang kepada anak-anak bangsa kita bertutur dalam Bahasa Melayu. Ruang yang terbatas ini  menjejas kecintaan terhadap Bahasa Melayu. Dalam jangka panjang, ini turut menjejas penghasilan karya-karya sastera Bahasa Melayu.
Jika karya Mohd Latiff Mohd menggambarkan kehampaan dan mencerminkan situasi masyarakat Melayu pada era 1970-an, novel Mail Mau Kawin karya MAS, menggambarkan satu harapan dan pandangan yang futuristik kepada masyarakatnya. Karya ini dihasilkan sezaman dengan sajak Bangsaku di Hari Lahirku. Mail merupakan seorang yang tidak berpelajaran tinggi tetapi berusaha sedaya upaya dan mempertingkatkan dirinya dengan mengikuti kelas malam. Mail akhirnya menjadi seorang usahawan yang berjaya.
Jika diteliti dengan lebih mendalam, watak utamanya, Mail, mencerminkan harapan MAS terhadap masyarakatnya. Mail merupakan seruan kepada masyarakat Melayu supaya bangkit dan bergerak maju serta keluar dari permasalahan yang dihadapi. Usaha yang gigih dan sikap tidak putus asa perlu disemai di dalam diri setiap individu demi merealisasikan kemajuan yang hakiki.  Ianya sejajar dengan negara Singapura ketika itu yang sedang mengalami proses pembangunan setelah berpisah dengan Malaysia.
Dalam erti kata lain, perkembangan sastera Melayu di Singapura tidak begitu menggalakkan jika dibandingkan dengan penghasilan karya-karya pada tahun-tahun sebelum Singapura merdeka. Untuk menghasilkan sebuah karya yang bermutu, faktor-faktor dalaman seperti masa dan komitmen seseorang penulis itu amat penting. Selain tanggungjawab terhadap keluarga, penulis juga perlu memperuntukkan serta mengimbangi masa untuk kerjayanya dan komitmen yang lain. Penulis memerlukan masa untuk mengkritik, masa untuk memerhati dan ketajaman akal untuk berfikir dan merenung sebelum berkarya. Karya-karya yang terhasil diharapkan akan memberikan impak dan kesan yang dapat menyedarkan masyarakatnya. Rentetan tanggungjawab yang digalas dan mengimbangi masa dengan bijaksana merupakan faktor utama mengapa penghasilan karya-karya sastera berkurangan dekad ini.
Namun, semua ini tidak dapat dilaksanakan atau menjadi nyata sekiranya penulis itu sendiri ketandusan idea untuk berkarya. Penulisan yang dihasilkan haruslah yang bersifat relevan dengan tuntutan masa, menarik dari segi olahan serta yang berdaya dan berupaya untuk mencetus pemikiran masyarakatnya. Setiap penulis mempunyai tanggungjawab sosialnya yang tersendiri. Terpulang kepada penulis itu untuk mengetengahkan apa yang dirasanya sesuai untuk diketengahkan dan dicoretkan untuk masyarakatnya. Ini kerana setiap karya yang dihasilkan harus memainkan peranan sebagai satu wadah untuk memberi teguran,  pengajaran dan diambil ikhtibar oleh masyarakatnya. 
Sekiranya masa mengizinkan seorang penulis berkarya, karyanya itu tentu diharapkan dapat disiarkan dan dibaca oleh masyarakatnya. Jika ini tidak berlaku, sebuah karya hanya akan tersimpan di minda penulisnya sahaja. Hanya akbar Berita Minggu yang menyediakan ruang untuk penulis berkarya. (Akhbar Berita Harian membataskan karya yang dihasilkan oleh remaja sahaja.) Ruang yang terbatas dalam akbar ini hanya mengizinkan sebuah cerpen dan lebih kurang 2 atau 3 buah sajak sahaja setiap minggu. Bayangkan sekiranya 10 orang penulis yang menghantarkan karya cerpen mereka untuk disiarkan di akhbar ini, perlu menunggu sekurang-kurangnya 3 bulan sebelum melihat cerpen itu disiarkan.    Masa yang begitu lama diambil untuk melihat karya-karya itu disiarkan, boleh menghambat seseorang penulis itu berkarya lagi.
Mungkin majalah Manja dapat memainkan peranannya dalam menyokong perkembangan sastera Melayu dengan menyediakan ruang untuk cerpen dan sajak-sajak yang dihantar oleh penulis. Jika pada awal 1920-an, kehadiran beberapa majalah dan akhbar memainkan peranan penting dalam perkembangan sastera, kini hanya Berita Harian/Minggu yang ada di pasaran. Terbukti dengan adanya lebih banyak akhbar dan majalah dapat meluaskan ruang dan peluang bagi penulis terus berkarya.
Andaikan seorang penulis mampu menghasilkan kompilasi sajak-sajak atau beberapa buah cerpen. Penulis itu boleh mendapatkan khidmat sebuah syarikat penerbitan buku untuk mengedarkan karyanya. Bayangkan, seorang penulis bukan sahaja perlu mencari ruang dan masa untuk berkarya, beliau juga perlu mencari dan menaja penerbitan bukunya sendiri untuk dijual kepada masyarakatnya. Bahkan harga penerbitan boleh mencecah belanja sehingga 2.5 ribu dolar dengan hanya 500 buah buku yang tercetak. Tentunya senario begini akan menghambat terhasilnya karya-karya yang bermutu.

PENUTUP
Pelbagai usaha telah dijalankan oleh pihak kerajaan dan organisasi tertentu untuk melestarikan perkembangan sastera seperti sokongan mengadakan sayembara dan peraduan-peraduan tertentu serta geran-geran untuk membiayai penerbitan hasil karya. Namun, masih terdapat hambatan-hambatan dan faktor-faktor dalaman yang diluar jangkauan yang mempengaruhi perkembangan sastera Melayu. Tanggungjawab mengembangkan sastera Melayu terletak di atas setiap individu.  Terpulanglah kepada kita untuk memanfaatkan peluang yang tersedia ada agar generasi akan datang akan dapat terus mewarisi pusaka Melayu ini.
 

Tiada ulasan:

Catat Ulasan