Jumaat, Oktober 07, 2011

Kemahiran Membaca & Menulis dalam BM

Persediaan Mengajar Menulis Karangan Berbentuk Naratif


1. PENDAHULUAN
            Kemahiran menulis merupakan satu kemahiran yang sukar dan hanya dapat dikuasai selepas seseorang pelajar telah menguasai kemahiran mendengar, bertutur dan membaca. Aktiviti mengarang menggabungkan pengetahuan ketiga-tiga kemahiran ini. Penulisan juga mengukuhkan kemahiran berfikir kepada peringkat yang tinggi seperti menganalisis, mengaplikasi dan menilai maklumat.
Objektif pengajaran dan pembelajaran mata pelajaran karangan berbeza menurut peringkat umur murid-murid. Bagi seorang murid di peringkat menengah, kemahiran yang diperolehi dari sekolah rendah perlulah diperkembangkan untuk disesuaikan dengan tahap atau standard sekolah menengah. Bahagian utama dalam karangan iaitu pendahuluan, isi-isi dan penutup, yang merupakan elemen-elemen asas sesebuah karangan haruslah dititik beratkan dan diperkukuhkan dalam penulisan karangan. Dengan adanya elemen-elemen asas ini, akan membolehkan seseorang pelajar meninjau dan meneroka elemen-elemen distingtif yang lain dalam penulisan naratif.
2. TUJUAN KAJIAN
            Kajian ini akan membentangkan karangan yang berbentuk naratif. Kajian ini akan menjurus kepada faktor-faktor yang penting dalam mengarang karangan naratif yang bermutu. Kajian ini juga akan menerangkan bagaimana guru dapat mengetengahkan faktor-faktor karangan naratif dan diaplikasikan pengetahuan itu sewaktu membuat latihan-latihan mengarang. Guru disarankan memberikan contoh-contoh yang terdapat dari internet atau buku untuk dijadikan sumber atau bahan perbincangan sewaktu menjalankan pengajaran penulisan naratif ini.
3. BAHAN KAJIAN
                       Petikan dan cadangan yang diberi merupakan petikan dan tukilan daripada nota-nota kuliah serta tukilan dari lelaman-lelaman yang tersenarai dalam rujukan. Buku karangan Gail E. Tompkins yang bertajuk ‘Teaching Writing : Balancing Process dan Product ‘, juga dipilih sebagai salah satu bahan rujukan. Selain itu, antologi cerpen karya Ishak Latiff yang bertajuk Rona (2009), dijadikan sumber untuk mengetengahkan petikan dalam menghuraikan elemen-elemen penting dalam penulisan naratif.
4. ISI PERBINCANGAN
            Pembacaan karangan naratif yang bermutu berupaya ‘memindahkan’ pembaca dari alam nyata ke alam cereka. Pembacaan yang khusyuk akan mengizinkan pembaca mengalami sama apa yang dialami oleh watak-watak dalam sesebuah penulisan naratif. Menurut Dressel (1990), pelajar yang didedahkan dan membaca bahan bacaan yang berkualiti, secara langsung akan mengarang dengan lebih baik jika dibandingkan dengan pelajar yang kurang membaca bacaan yang berkualiti.
            Karangan yang berbentuk naratif mengandungi beberapa ciri-ciri distingtif iaitu tema, jalan cerita, watak, latar, sudut pandang dan gaya bahasa. Karangan naratif menggunakan ragam bahasa sastera yang menumpukan perhatiannya kepada penceritaan semula sesuatu kejadian, pengalaman atau peristiwa yang telah berlaku.
            Sebuah karangan naratif di peringkat sekolah menengah akan lazimnya memusatkan perhatian pada satu kejadian atau peristiwa, mempunyai satu plot, satu latar dan jumlah watak yang terhad. Ianya juga mencakupi jangka waktu yang pendek dan singkat. Penulisan naratif dalam peringkat sekolah menengah lazimnya tidak menimbulkan masalah dalam bahagian pemerengganan, isi dan penutup. Bahagian-bahagian asas merupakan dasar yang penting yang perlu ditangani sebelum beralih kepada unsur-unsur penulisan naratif yang lebih mencabar. Guru akan memperkenalkan unsur-unsur penulisan ini secara bertahap-tahap dan memberikan fokus atau penekanan yang berbeza mengikut kehendak soalan.
Pengajaran penulisan naratif tidak harus dijalankan serentak tetapi berperingkat. Pada awal pengajaran, pelajar didedahkan dengan unsur-unsur tema dan plot dahulu sebelum diketengahkan unsur watak dan sudut pandang. Terpulanglah kepada kebijaksanaa guru untuk memilih unsur-unsur manakah yang harus didahulukan atau yang ingin ditekankan.
            4.1 TEMA
            Sebuah penulisan naratif haruslah mempunyai tema. Tema yang diutarakan merupakan persoalan utama atau persoalan pokok yang dikemukakan dalam sesebuah penulisan naratif. Ianya juga merupakan pemikiran, falsafah dan premis yang bersangkutan dengan  persoalan-persoalan yang disentuh di dalam penulisan. Lazimnya penulisan naratif mengandungi satu tema tetapi mengandungi banyak persoalan. Tema-tema yang sering kali disentuh berkisar kepada kasih sayang, kegigihan semangat cinta dan lain-lain. Guru boleh mengambil contoh tema kehidupan yang terdapat dalam buku antologi cerpen karya Isyak Latif yang bertajuk ‘Nasi Ambeng’. Ianya menyentuh tentang sebuah harga kemiskinan, sebuah harga keinginan dan sebuah harga nilai kehidupan.
           
Guru boleh memulakan perbincangan bersama pelajar tentang apakah tema yang ingin diketengahkan oleh penulis berdasarkan dialog yang diberikan ini.  
“... Aku tidak peduli! Kamu sekeluarga ni memang suka menyusahkan orang. Tak sedar diri, hidup tu ibarat itik tak sudu, ayam tak patuk. Kalau dah pipit tu, janganlah nak berlagak seperti enggang. Hei, Sengot! Aku tak peduli! Sekarang aku nak kau ganti balik beras aku yang anak-anak kau dah makan. Ganti, cepat!!”                                                                                                      (ms 45)
           
            4.2 JALAN CERITA ATAU PLOT  
Setelah perbincangan tentang tema yang ingin disampaikan oleh penulis, guru boleh menyentuh pula tentang bagaimana pula penulis dapat mengolah jalan ceritanya atau plot supaya berupaya menarik minat para pembaca. Plot yang mengiringi penulisan naratif lazimnya merupakan jalinan peristiwa yang berlaku dalam sesebuah cerita berdasarkan hukum sebab dan akibat. Plot ini juga terbahagi kepada dua iaitu plot konvensional dan plot bukan konvensional.
Plot konvensional akan memaparkan urutan cerita yang terikat seperti dimulakan dengan permulaan cerita, diikuti pula dengan konflik dan aksi menaik. Ini diiringi dengan klimaks sebelum diakhiri dengan penyelesaian.
Berbeza dengan plot konvensional, plot bukan konvensional pula memaparkan yang sebaliknya. Ianya boleh dimulakan dengan pengakhiran cerita, kemudian dibawa pula pembaca kepada permulaan bahagian sebelum pengakhiran dan disudahi dengan peleraian.
Binaan plot terbahagi kepada 3 peringkat iaitu permulaan, perkembangan dan peleraian. Pembaca dihidangkan dengan permulaan penulisan naratif yang memperkenalkan watak-watak dalam penulisan naratif. Watak utama ini akan berkembang dan diiringi dengan persoalan-persoalan yang ingin diketengahkan oleh penulis. Penulisan ini diakhiri dengan peleraian dimana watak utama berjaya mengatasi atau menyelesaikan konflik yang memuncak. Peleraian ini boleh menandakan penutup cerita atau berakhir sudah penulisan tersebut.
            Sebuah karangan naratif yang baik haruslah mengandungi unsur-unsur seperti saspens, kejutan, dilema, ironi, imbas kembali, imbas muka, konflik, ketegangan, klimaks dan sebagainya. Pelajar haruslah pandai menyelitkan unsur-unsur ini untuk menarik minat pembaca untuk terus menghayati penulisan itu.
            Berikut adalah contoh-contoh yang jelas yang memaparkan teknik-teknik yang berkesan.  Petikan-petikan ini merupakan contoh-contoh karangan yang terdapat dalam lelaman Cikgu Naim Daipi seorang guru pakar Bahasa Melayu, Saujana.
Teknik imbas muka
Aku menoleh ke kanan dan ke kiri namun adikku yang hilang tidak juga kelihatan. Namanya ku panggil berkali-kali malangnya gagal mendapat sahutan. Mahu sahaja aku menjerit sekuat-kuat hatiku tetapi apa pula kata orang nanti. Mahu sahaja aku mendapatkan pertolongan orang ramai tetapi tidak mungkin mereka dapat membantu. Ternyata mereka langsung tidak mengenalinya. Jika adikku tidak kutemui, bagaimana harus aku jawab kepada ibu bapaku? Tentu aku dipersalahkan.

Teknik Monolog
Patutkah aku terus tinggal bersama keluarga angkatku? Patutkah aku keluar sahaja
mencari haluan hidupku sendiri? Tapi, merekalah yang bersusah payah
membesarkan aku? Tak mungkin aku akan meninggalkan mereka begitu sahaja.
Aku mesti menunjukkan penghargaanku kepada mereka. Tapi, bagaimanakah
caranya?

Teknik Imbas Kembali
Masih jelas terbayang dalam ingatanku saat aku dipisahkan daripada adik
kesayanganku. Tangisannya masih kedengaran di telingaku setiap pagi aku bangun
dari tidurku.

Dengan contoh-contoh yang berkaitan dengan teknik-teknik penceritaan yang sesuai, pelajar dapat mengenalpasti apakah teknik atau gaya penulisan yang disenangi. Gaya penulisan yang dikenalpasti itu dapat dikembangkan dan dipertingkatkan lagi dengan latihan dan pembacaan yang meluas. Pembacaan yang meluas dapat mempertingkatkan lagi mutu penulisan dan mengasah ketajaman pemikiran para pelajar.
Begitu juga dengan unsur-unsur kejutan dan saspens. Dipetik dari antologi karya Ishak Latif yang sama, cerpen bertajuk ‘Kawan Maman’, urutan plot atau jalan ceritanya yang diakhiri dengan kejutan-kejutan tanpa dugaan. Cerpen ini dimulai dengan imbas kembali kehidupan watak utama dan secebis sejarah perwatakan watak utama iaitu Nora, ibu Maman. Plotnya berkembang dan memberikan gambaran rentetan-rentetan peristiwa yang berlaku ke atas diri Maman dan diceritakan dari sudut pandang atau perspektif Nora. Plot ini memuncak dengan peristiwa Maman memegang sebilah pisau sambil mengejar Nora di ruang tamu. Sejurus kemudian, penulis menukar teknik penceritaan kepada perspektif suami Nora yang sedang menceritakan kisah kematian anaknya, Maman, kepada rakan karibnya. Rentetan peristiwa berkembang dan dihentikan disaat pembantu rumahnya dihantar pulang. Di akhir cerpen ini, pembaca dihidangkan dengan hilaian tawa dari pembantu rumahnya.
Di akhir pembacaan, tercetus berbagai persoalan diantaranya seperti mengapakah pembantu rumah itu mengilai dan siapakah yang dimaksudkan dengan kawan Maman. Dari cerpen ini sahaja, pelajar dapat mempelajari beberapa elemen-elemen penting dalam penulisan naratif. Bukan sahaja pelajar mengasah kemahiran dalam pembinaan plot cerita, tetapi pelajar dapat juga pelajari bagaimana mengembangkan watak serta menyelitkan unsur-unsur saspens dan kejutan dalam penulisan naratif.
            
4.3 WATAK
            Watak merupakan teraju utama dalam menghidupkan sesebuah penulisan naratif. Tanpa watak jalan cerita tidak dapat berfungsi dan tema tidak dapat dipaparkan dengan baik dan jelas. Watak utama ini perlulah dihidupkan dengan sifat fizikal, mental dan kejiwaan untuk menjelaskan peranannya. Watak yang baik haruslah digambarkan oleh pelajar dari segi konsistensinya dalam beraksi, bercakap dan bertindak.
            Berdasarkan cerita ‘Kawan Maman’, watak Nora atau ibu Maman digambarkan sebagai seorang yang sering ditimpa kecelakaan umpama peribahasa sudah jatuh ditimpa tangga. Setelah kematian ibunya, Nora semakin runsing dan terkesan akan kehilangan itu. Selang seminggu setelah kematian ibunya,anaknya pula yang menyahut panggilan Illahi. Pelajar akan dapat mempelajari bagaimana rentetan tragedi ini digambarkan dan bagaimana penulis berjaya memaparkan perasaan trauma dan tertekan disebabkan kematian atau kehilangan orang yang tersayang.

4.4 LATAR
Latar atau setting pula terbahagi kepada dua iaitu latar fizikal dan latar masyarakat. Latar fizikal bermaksud persekitaran atau gambaran tempat dan masa sesuatu perkara itu berlaku. Manakala latar masyarakat pula mencerminkan keadaan masyarakat di tempat sesuatu perkara itu berlaku. Untuk penulisan naratif yang hanya diperuntukkan dalam masa dua jam, bagi Kertas 1 Penulisan Esei bahagian 1 dan 2,  gambaran tempat dan masa akan dapat membimbing pembaca mengikuti jalan cerita dengan lancar dan tidak terawang-awang tanpa panduan.
           
4.5 SUDUT PANDANG
            Sudut pandang menyentuh kepada cara bagaimana pelajar menghidangkan cerita kepada pembaca. Terdapat beberapa jenis sudut pandang atau dari perspektif siapa. Sudut pandang orang pertama membolehkan seorang watak dalam cerita yang menggerakkan cerita. Watak ini akan menggunakan kata ganti diri ‘aku’. Sudut pandang orang ketiga pula bermaksud pengarang bertindak sebagai pencerita dan tidak mempunyai kaitan dengan watak-watak yang terdapat dalam cerita. Berbeza dengan sudut pandang orang pertama, kata ganti diri bagi teknik ini menggunakan ‘dia’ atau ‘mereka’ atau pun nama sebagai pemilihan untuk mengisahkan cerita.
            Contoh sudut pandang orang pertama dan ketiga ialah seperti berikut:
Sudut pandang orang pertama:
Semenjak aku membuat keputusan itu, keadaan hidupku berubah. Aku tidak sangka keputusan aku anggap remeh itu mampu merubah segala-galanya. Kini, hidupku serba kekurangan.

Sudut pandang orang ketiga:
Sudah puas Diana mencuba untuk melelapkan mata namun di dalam
fikirannya masih segar terbayang peristiwa negeri yang berlaku di hadapan
matanya petang tadi. Suara jeritan pemuda yang luka akibat benturan kuat
sebuah kereta Pajero jelas terngiang-ngiang di telinganya. Diana berfikir di
dalam hati, haruskah dia melawat pemuda itu esok untuk mengembalikan
telefon bimbitnya yang tercampak di tempat kejadian...?”

            Dengan adanya contoh-contoh seperti ini, pelajar dapat membezakan apa yang dimaksudkan dengan sudut pandang orang pertama dan sudut pandang orang ketiga.

4.6 GAYA BAHASA
            Gaya bahasa merupakan stail penulisan seseorang penulis. Ianya lazimnya mempunyai unsur-unsur dramatik dan mempunyai kaitan dengan unsur keindahan bahasa. Gaya bahasa termasuk penggunaan diksi atau pemilihan kata serta pembentukan ayat. Guru boleh memberikan contoh-contoh penggunaan simili, hiperbola, personifikasi dan metafora untuk menerangkan lebih terperinci kepada pelajar.
Gaya bahasa simili atau perbandingan merupakan satu perbandingan secara eksplisit seperti berikut:
a) perasaannya terguris bagai disiat sembilu.     
b) ibarat api yang hidup segan mati tidak mahu                                                  
c) seperti burung yang terbang kepatahan sayapnya
Pelajar haruslah didedahkan dengan penggunaan frasa-frasa ini dalam bentuk ayat yang gramatis. Contoh-contoh penggunaan yang betul lebih bermanfaat kepada pelajar jika dibandingkan dengan penyediaan senarai yang lazimnya dilakukan oleh guru. Pelajar juga harus diberikan peluang untuk menggunakan contoh-contoh ini di dalam penulisan mereka ataupun dalam latihan pelajaran bahasa.
Gaya bahasa hiperbola pula adalah frasa-frasa atau kata-kata yang dapat mempertingkatkan lagi keberkesanan gambaran yang ingin disampaikan seperti
a) menggelegak api kemarahannya
b) tidak dapat lagi membendung air mata yang telah mengolam di kelopak  
    matanya

Gaya bahasa bersifat personafikasi merupakan bahasa kiasan yang menggambarkan benda-benda mati yang seolah-olah memiliki sifat kemanusiaan. Contoh-contoh personafikasi ialah
a) malam mengengsot agak perlahan
b) kabus pagi yang sejuk mengucup mesra.
c) sinaran mentari yang terik membangunkan segala isi bumi
Gaya metafora pula merupakan frasa-frasa perbandingan secara langsung iaitu memberi sifat sesuatu objek itu secara perbandingan terus seperti frasa-frasa yang berikut:
a) kotak fikiran                                               b) roda kehidupan
Unsur-unsur penulisan naratif yang telah dijelaskan ini perlu dilatih dan di diaplikasikan ke dalam penulisan naratif pelajar. Guru boleh memberikan tajuk yang sesuai dan menekankan agar pelajar mengolah penulisan mereka dengan memberi penekanan kepada unsur-unsur  yang tertentu.
           
5. RUMUSAN     
 Penulisan naratif yang dapat membangkitkan lagi mutu serta ketajaman penulisan para pelajar tidak akan terhasil dalam sekelip mata. Ianya memerlukan latihan dan usaha yang gigih dalam meningkatkan kemahiran mengarang. Walaupun terdapat unsur-unsur yang diaplikasikan dalam penulisan pelajar, sesebuah penulisan yang baik akan dapat meninggalkan kesan  kepada pembaca sekiranya penggunaan bahasanya sesuai, isi yang cukup dan berkembang serta pengolahan ceritanya yang menarik.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan