Khamis, Oktober 06, 2011

Kesusasteraan Melayu

Apa yang dimaksudkan dengan sastera?
Apakah ciri-ciri yang menandai kesusasteraan Melayu.

Definisi Sastera 
                        Perkataan ‘sastera’ berasal daripada bahasa Sanskrit castra yang membawa maksud kitab suci. Kesusasteraan pula membawa pengertian sebagai segala penghasilan sastera yang dinikmati atau disampaikan, baik melalui tulisan dan pembacaan mahupun melalui lisan dan pendengaran.(Harun Mat Piah et al;2006 hlm 6). Sastera merupakan satu bidang seni kreatif yang medium pengantarnya adalah bahasa. Sastera bermula dari tradisi lisan dan semakin berkembang mengikut peredaran semasa.
Pernyataan ini disokong oleh M.K Danziger dan W.S Jahnson (1983:2) yang mendefinisikan sastera sebagai satu seni yang menggunakan kata-kata sama ada lisan atau bertulis. Bahkan sastera juga merangkumi semua aspek yang menggunakan bahasa yang bersifat kreatif, menurut Ismail Husein (1998:23). Ini juga ditegaskan oleh Abu Bakar Hamid (1997:13) yang memberi pengertian sastera sebagai satu seni yang bercorak intelektual dan gabungan kepuasan intelek dan kepuasan estetik.
                        Karya-karya sastera memaparkan perutusan, amanat serta lontaran idea dan fikiran pengarangnya. Hasil karya itu mencerminkan gagasan dan daya fikir pengarangnya yang ingin dikongsi bersama pembaca. Sebuah karya itu terhasil daripada cetusan gabungan daya rasa, kepekaan dan keprihatinannya terhadap apa yang diamati dan dialami oleh masyarakat. Menurut Syed Ali Ashraf (1989:36) sastera bukan sahaja satu bentuk ilmu yang berseni tetapi ianya merangkumi segala aktiviti manusia secara kreatif.
Meneliti pandangan yang diutarakan oleh para sarjana memperlihatkan bahawa sastera ditandai dengan pelbagai ciri khusus. Justeru, tugasan ini akan membincangkan dan menjelaskan konsep kesusasteraan, ciri-ciri khusus sastera, kategori serta fungsinya dengan contoh-contoh yang bersesuaian.
            Dalam hal ini perbincangan akan ditumpukan kepada kategori sastera mengikut masa dan bentuk seperti yang dijelaskan oleh Harun Mat Piah (2003). Untuk maksud ini, beberapa bahan dan teks sastera akan dirujuk sebagai bahan analisis yang mewakili karya tradisional mahupun moden. Antara sumber petikan yang akan diketengahkan bagi kategori sastera tradisional genre prosa ialah dari Sejarah Melayu dan Sastera Rakyat. Manakala rangkap dari Gurindam Dua Belas akan dikaji untuk mewakili sastera tradisional genre puisi. Sastera Melayu moden yang berbentuk prosa pula akan diwakili oleh karya-karya Abdullah Munsyi manakala sajak Kamala yang bertajuk “Telok Gong” pula akan mewakili puisi Melayu moden.

      KONSEP KESUSASTERAAN     
      Sastera merupakan satu bidang seni kreatif di mana bahasa adalah medium pengantarnya. Sastera ditandai dengan beberapa unsur khusus yang mampu membentuk tamadun dan peradaban sesuatu masyarakat selain memperlihatkan sikap dan pandangan pengarangnya. (Arba’ie et al,2008) Secara ringkasnya sastera dilengkapi dengan unsur-unsur yang berikut:
S – Seni bahasa yang indah
A – Akaliah atau sisipan ilmu dan pemikiran pengarang
S – Sensori atau daya sensitiviti pengarang
T – Tersurat & tersirat
E – Estetika atau keindahan dari segi bahasa
R – Realiti kehidupan
A – Alternatif
                         Sastera Melayu mempunyai seni bahasa yang indah dan tersusun. Diksi yang digunakan dapat memberi kesan penghayatan kepada pembaca. Ianya mempamerkan kepakaran dan keahlian seorang pengarang itu untuk meluahkan dan mengungkapkan makna yang difikirkan.  Adunan teknik-teknik yang sesuai dan ketepatan diksi  menjadikan sesebuah karya itu hidup dan bertenaga.  
            Selain daripada penggunaan bahasa-bahasa yang indah dan tersusun, sastera juga diiringi  dengan unsur akaliah. Dalam erti kata lain, seorang pengarang perlu memikirkan perutusan, amanat, atau lontaran idea yang ingin disampaikan atau dikongsi dan direnungi bersama oleh pembaca.  (Arba’ie et al,2008 hlm 1) Unsur akaliah ini merupakan langkah pertama yang perlu ditetapkan sebelum terhasilnya sesebuah karya.
Dengan perutusan yang diingin disampaikan, seorang pengarang perlu mengolah dan menggabungkan serta melengkapi karyanya itu dengan daya rasa atau sensitiviti mereka. (Arba’ie et al,2008 hlm 1) Untuk itu, seorang pengarang haruslah bersifat sensitif atau peka dan prihatin akan masyarakatnya. Pengamatan pengarang akan masyarakatnya dijadikan sumber asas dalam menghasilkan sesebuah karya. Kewujudan pelbagai daya rasa ini akan membangkitkan dan meninggalkan kesan perasaan kepada pembacanya. Daya rasa seperti belas simpati, benci , marah atau geram akan dihubungkaitkan dengan fenomena yang dipaparkan. Karya itu akan lebih bernilai sekiranya apa yang dipaparkan pernah dilalui atau dialami oleh pembaca.     

Sastera juga mempunyai unsur tersurat dan tersirat. Sastera tidak terhasil dengan  kekosongan.(Ara’ie et al,2008 hlm 5) Ianya terhasil atas dorongan tertentu dengan menggunakan sumber-sumber yang terdapat di persekitaran. Penafsiran pembaca yang berencam mengundang pembaca memikirkan mesej yang ingin disampaikan. Namun tidak semua lambang yang tersurat itu memberi erti apa yang tersirat. Akan wujud makna-makna simbolik di sebalik kata-kata yang diungkapkan.
            Sastera juga mempunyai nilai estetikanya. Selain pemikiran, gaya bahasa, bentuk struktur dan tema juga memainkan peranan penting untuk menilai kesan estetika sesebuah karya itu.
            Sesebuah karya sastera juga merupakan cerminan realiti kehidupan. Persoalan-persoalan yang dipaparkan dalam sebuah karya sastera merupakan rakaman realiti dalam masyarakat. Ianya merupakan renungan serta pengamatan pengarangnya dan diterjemahkan secara halus dan berhemah. (Arba’ie,2008 hlm 2)
            Sastera yang terhasil merupakan satu alternatif kepada pengarang untuk meluahkan perasaan, melepaskan kecaman-kecaman dan bauran rasa yang terbuku di dada. Ianya bertepatan dengan fungsi sastera sebagai alat pelepasan nilai rasa dan jerit naluri kehidupan manusia sejagat. (Arba’ie et al,2008 hlm 3)

KATEGORI  KESUSASTERAAN MELAYU
Dalam kesusasteraan Melayu, pengkategorian sastera dilakukan berdasarkan zaman atau masa sesebuah hasil sastera itu dikesan atau wujud. (Arba’ie et al,2008 hlm 8) Secara umumnya, pengkategorian sastera akan merujuk kepada tradisional dan moden. Sastera Melayu tradisional meliputi dua genre iaitu prosa dan puisi. Genre prosa dan puisi tradisional adalah seperti yang tersenarai:
Prosa                                                                          Puisi
Sastera Rakyat                                                          Pantun
Sastera Pengaruh Hindu                                          Syair
Sastera Zaman Peralihan                                        Peribahasa
Sastera Pengaruh Islam                                           Teromba
Sastera Panji                                                            Talibun
Sastera Ketatanegaraan                                    Nyanyian Kanak-kanak
Sastera Undang-undang                                          Jampi Mentera
Sastera Saduran                                                       Gurindam Zikir
Cerita Berbingkai                                                Seloka, Kit’ahMasnawi

 Manakala bagi kategori Sastera Moden, genre prosa dan puisi moden pula adalah seperti berikut:
            Prosa                                                                          Puisi
            Cerpen                                                                       Sajak
            Novel
            Drama
                         
                        Walaupun kedua-dua sastera tradisional dan moden mempunyai genre prosa dan puisi, namun, ciri-ciri khusus akan dibincangkan selanjutnya untuk membandingkan sastera tradisional dan moden.
 
CIRI-CIRI SASTERA MELAYU TRADISIONAL
                        Sastera Melayu tradisional merupakan karya-karya yang telah diwarisi secara turun-temurun. Sastera tradisional disebarluaskan melalui lisan dan memberi gambaran cara hidup atau budaya sesuatu masyarakat. Ia bersifat kolektif atau hak milik bersama. Tiada sesiapa yang tahu siapa pengarangnya dan tidak diketahui tarikh sesuatu sastera itu dihasilkan. Ianya lahir di kalangan masyarakat masa lampau dan disampaikan secara lisan dari satu generasi ke satu generasi yang lain kerana pada umumnya masyarakat pada zaman tersebut masih belum mengenal huruf dan tidak tahu menulis. Penyebaran sastera Melayu tradisional juga terhad disebabkan khalayak yang terbatas dan bersifat esklusif.
Oleh kerana ianya disampaikan melalui lisan, banyaklah berlakunya perubahan dan tokok tambah serta penyesuaian. Tema, latar serta watak dalam sastera tradisional berpusat kepada masyarakat yang mewarisinya dan dipandang tinggi oleh masyarakat tersebut sehinggakan karya-karya itu dianggap suci dan keramat.
CIRI-CIRI SASTERA MELAYU MODEN
                        Sastera Melayu Moden pula mempunyai ciri-ciri yang berlainan dengan sastera Melayu tradisional. Jika sastera Melayu tradisional tersebar melalui lisan, maka sastera Melayu moden pula disebarkan melalui tulisan. Penyebaran hasil-hasil sastera yang berbentuk tulisan ini semakin berkembang dengan kehadiran mesin cetak. Penyebaran ini semakin meluas dan berjaya menembusi masyarakat pembaca yang ramai. Ini berbeza dengan sastera tradisional yang hanya diketahui oleh golongan tertentu sahaja. Jika sastera Melayu tradisional terhad kepada sesebuah masyarakat tertentu sahaja yang bersifat esklusif, sastera Melayu moden pula merupakan sebaliknya. Ianya bersifat individu atau perseorangan kerana disertakan dengan nama pengarangnya. Ianya tidak lagi bersifat kolektif atau kepunyaan umum tetapi khusus dimiliki oleh pengarangnya. Bahkan sastera Melayu moden mempunyai sistem hak cipta terpelihara.    
                        Walaupun ciri-ciri sastera tradisional dan moden ini bertentangan, namun masih terdapat persamaan dari segi fungsi sesebuah karya sastera itu dihasilkan.

PUISI MELAYU TRADISIONAL
Menurut Za’ba, puisi adalah karangan berangkap yang khas dipakai untuk melafazkan fikiran yang cantik dengan bahasa yang indah dan melukiskan kemanisan serta kecantikan bahasa.(Arba’ie et al,2008 hlm 9) Pendapat yang sama juga diutarakan oleh Samuel Taylor Coleridge yang mengemukakan puisi sebagai kata-kata terindah dalam susunan terindah. (Arba’ie et al,2008 hlm10)
Salah satu bentuk puisi tradisional adalah gurindam. Menurut Md Ali Bachik (2003), gurindam adalah sebuah wacana yang mengandungi kalimat-kalimat yang berirama dimana isinya berunsur nasihat dan bentuknya semacam bidalan. Gurindam juga membawa erti sesuatu perkara itu berlaku kerana ada penyebabnya dan melalui penyebab itulah perkara tersebut terjadi.
Gurindam Dua Belas merupakan karya hasil karangan Raja Ali Haji yang termasyhur. Beliau merupakan seorang sasterawan negara dari Pulau Penyegat, Riau, Indonesia. Gurindam Dua Belas menyentuh perihal ketuhanan, keagamaan, budi pekerti, kewajipan antara anak dan ibu bapa dan sebaliknya serta  hidup bermasyarakat.
Salah satu tujuan terhasilnya Gurindam Dua Belas adalah untuk menyedarkan masyarakat tentang pentingnya beragama, berilmu, berbudi pekerti mulia, mentaati dan menghormati ibu bapa serta banyak lagi. Berikut adalah berapa baris daripada petikan Gurindam Dua Belas ciptaan Raja Ali Haji.

GURINDAM DUA BELAS

...
Jika hendak mengenal orang berbangsa,
Lihat kepada budi dan bahasa,
...
Jika hendak mengenal orang yang berilmu,
Bertanya dan belajar tiadalah jemu
...
Apabila anak tidak dilatih,
Ketika besar, bapanya letih.
...                                                                     

Berdasarkan petikan tersebut, dengan cara mengenali atau mempelajari budi dan bahasa seseorang itu maka ketahuilah kita akan bangsanya. Budi dan bahasa dalam baris ini bukan sahaja menyentuh pada sistem linguistik semata-mata tetapi merangkumi  juga sistem budaya dan adat sesebuah bangsa. Cara kita menggunakan bahasa Melayu akan mempamerkan kelakuan budaya dan taraf sosial kita dalam masyarakat. Seperti kata peribahasa Melayu, “bahasa melambangkan bangsa, bangsa melambangkan budaya.” Dari bangsa seseorang kita akan kenali bahasanya dan dari bahasanya pula, barulah kita kenali budayanya.
Begitu juga dengan cara mengenali seseorang yang berilmu. Dengan bermodalkan pertanyaan dan sifat ingin tahu, seseorang yang berilmu itu tidak akan berhenti untuk mempelajari apa yang tidak diketahuinya. Seseorang yang dahagakan  ilmu itu tidak akan pernah jemu untuk mencarinya walau sejauh manapun seperti hadits yang berbunyi, ‘menuntutlah ilmu sekalipun sejauh di negeri Cina’.
 
Berdasarkan petikan di atas, Raja Ali Haji juga menyentuh tentang pendidikan anak-anak. Ianya merupakan nasihat kepada ibu bapa agar tidak mengabaikan tanggungjawab mendidik anak-anak dari kecil supaya tidak meletihkan atau menyusahkan kedua ibu bapanya ketika dewasa kelak. Memang seharusnya, anak-anak dari kecillah yang perlu diasuh, dididik dan diberi teguran akan  tingkah lakunya agar sentiasa berkelakuan baik dan berbudi bahasa. Jika tidak dilentur buluh dari rebungnya, atau dari kecil lagi, maka ketika dewasa, segala tingkah laku dan peribadi seseorang itu sukar diubah dan diperbaiki.
PROSA MELAYU TRADISIONAL
Salah satu genre prosa Melayu tradisional adalah sastera rakyat. Sastera rakyat berfungsi sebagai salah satu wadah hiburan. Ia lazimnya diceritakan oleh tukang-tukang cerita pada waktu malam untuk menghilangkan penat selepas bekerja di siang hari. Sastera rakyat juga dikenali dengan nama, penglipur lara. Lazimnya cerita penglipur lara ini diiriingi dengan alat muzik tertentu (ms 92), ciri umum tertentu seperti berkisar di sekitar istana, mengenai putera-putera raja yang tampan, gagah, berani dan sakti dan puteri-puteri raja yang cantik jelita tiada bandingannya seperti dalam contoh Hikayat Malim Deman dan Hikayat Anggun Cik Tunggal di mana watak-wataknya berpusat kepada anak-anak raja. Cerita-cerita penglipur lara ini penuh dengan kisah-kisah kesaktian dan dewa dewi. Ini kerana masyarakat Melayu ketika dahulu mempunyai sistem kepercayaan tradisinya yang amat ketara perbezaannya jika dibandingkan dengan masyarakat moden sekarang.   Justeru itu, rata-rata penceritaan serta konteks cerita sesebuah karya itu menyentuh kepada unsur-unsur ghaib, dongeng dan mitos serta alam yang luar biasa. Sepertimana fungsinya sebagai penglipur lara, cerita ini lazimnya bertemakan percintaan antara wira dengan wirawati dan peperangan-peperangan yang terpaksa dihadapi oleh wira dalam mencapai sesuatu tujuan.
Selain hiburan, sastera juga membawa unsur didaktik atau pengajaran. Cerita-cerita teladan merupakan salah satu sastera tradisional yang berbentuk prosa. Cerita-cerita ini bertemakan pendidikan moral sama ada berlandaskan peraturan kehidupan sosial dan budaya atau pengajaran agama. (Arba’ie et al,2008 hlm 104) Jika cerita penglipur lara berkisar kepada anak-anak raja, cerita teladan ini pula lazimnya terdiri daripada manusia biasa. Kebanyakannya berlatar belakangkan dunia nyata dan menggunakan gaya pertuturan seharian. Di samping memberikan didikan moral , cerita teladan ini lazimnya memberikan kesan yang mendalam di jiwa kanak-kanak.
            Pastinya ramai kanak-kanak yang mengenali cerita Si Tanggang, Batu Belah Batu Bertangkup dan Cerita Bawang Putih dan Bawang Merah. Ajaran utama dalam cerita-cerita teladan ini ialah balasan baik terhadap setiap kebaikan dan sebaliknya seperti mana yang dapat kita lihat dalam cerita Si Tanggang. Tanggang adalah seorang anak yang tidak mengenang jasa ibunya dan durhaka. Bukan sahaja Tanggang tidak mengakui ibunya, dia juga telah menolak ibunya hingga jatuh ketika ibunya berjumpa dengan Tanggang. Anak durhaka dan biadap terhadap ibunya ini telah akhirnya disumpah menjadi batu. Satu pengajaran yang cukup meninggalkan kesan betapa mabrurnya doa seorang ibu dan balasan yang setimpal yang diterima oleh seorang anak yang durhaka.
            Pengajaran yang sama juga dapat kita lihat dalam cerita Batu Belah Batu Bertangkup di mana ibu Melur telah ditelan oleh batu belah kerana kecewa dengan perbuatan anaknya yang tidak meninggalkan walaupun secebis  telur ikan tembakul. Kekecewaan itu telah mengakibatkan ibunya berlari menyerah diri agar ditelan oleh batu belah.
Dalam konteks kesusasteraan Melayu, pandangan yang diberikan oleh para sarjana bersifat pelbagai antaranya pandangan Usman Awang yang mengaitkan sastera sebagai hasil tulisan yang mencerminkan kehidupan manusia. Antara fungsi utama terhasilnya sesebuah karya oleh seorang pengarang ialah dengan tujuan didaktik atau pengajaran kepada masyarakatnya. Dalam hubungan ini Usman Awang berpendapat bahawa sesuatu karya sastera itu bukan hanya untuk tujuan keseronokan sahaja tetapi juga mengungkapkan gagasan dan pemikiran pengarangnya. Ini juga ditegaskan oleh A. Samad Said (1996) yang menjelaskan bahawa sastera adalah rasa dan jerit naluri kehidupan manusia sejagat, ianya merupakan satu refleksi kehidupan yang diterjemahkan secara halus dan berhemah oleh pengarangnya.
Sastera juga berfungsi memberikan gambaran tentang kehidupan masyarakatnya. Dalam Sejarah Melayu , Sultan Melaka dikatakan sanggup memenuhi tuntutan Puteri Gunung Ledang demi mencapai hasrat untuk memperisterikannya. Tuntutan Puteri Gunung Ledang ialah 7 dulang hati nyamuk, 7 dulang hati kuman, jambatan emas dan istana di puncak gunung Ledang dan semangkuk darah Raja Muda. Segala permintaan Puteri Gunung Ledang dapat dilaksanakan oleh Sultan walaupun ianya bermakna mengorbankan rakyat jelata. Hanya semangkuk darah Raja Muda yang memisahkan Sultan Melaka daripada mencapai hasrat hatinya. Ini kerana semua yang terlaksana atau yang dapat dipersembahkan merupakan hasil penat lelah rakyat . Manakala, untuk mengambil semangkuk darah Raja Muda, adalah satu pengorbanan yang tidak dapat ditunaikan oleh Sultan Melaka sendiri.
Peristiwa ini juga memberikan gambaran kehidupan masyarakat pada waktu itu yang terikat dengan kepercayaan, adat dan tradisi selain memperlihatkan sejauh mana ketaatan rakyat terhadap raja yang disembah. Sultan Melaka mengenepikan belas ihsannya terhadap masyarakatnya demi mencapai keinginannya memperisterikan Puteri Gunung Ledang. Peristiwa ini juga memperlihatkan pengabdian rakyat kepada seorang raja sewaktu dikerahkan membina jejambat emas dari puncak Gunung Ledang.

PROSA MELAYU MODEN
Prosa Melayu Moden terdiri daripada genre cerpen, novel dan drama. Dalam tugasan ini, perbincangan akan tertumpu kepada karya-karya Munsyi Abdullah.
Menurut Diana Laurenson dan Alan Swingerwoods (1972:13) hubungan masyarakat dan persekitarannya amat rapat dan saling melengkapi. Sastera yang terhasil didorong oleh sumber-sumber yang terdapat di persekitaran sama ada bersifat persoalan, isu-isu ataupun fenomena tertentu yang dipindahkan dari layar realiti ke dalam coretan rasa, daya kreativiti dan pemikiran pengarangnya. Oleh itu, pemikiran yang terungkap merupakan luahan atau kesedaran yang timbul akibat kepekaan,keprihatinan serta pengalaman peribadi pengarang melihat dunia dan masyarakat dari kaca matanya.
Karya-karya Abdullah Munsyi merupakan salah satu contoh yang memperlihatkan gagasan dan pemikiran pengarangnya. Abdullah Munsyi merupakan seorang pengarang yang menjalinkan pengalaman, sikap dan pemikirannya dalam semua karya-karyanya. Berbeza dengan sastera tradisional, karya-karya Abdullah Munsyi bertitik tolak dari pengalaman pengarangnya sendiri. Beliau memperlihatkan ciri-ciri keindividuan yang tidak ditemui dalam karya-karya kesusasteraan sebelumnya. Abdullah Munsyi merupakan orang yang pertama mencatatkan pengalaman kehidupannya serta pelayarannya pada ketika itu.
                        Jika sastera melayu tradisional menampakkan unsur-unsur didaktik serta cerminan kehidupan, sastera melayu moden umumnya serta karya-karya Abdullah Munsyi khususnya, pula menyentuh kepada kritikan sosial masyarakatnya.
Dalam Hikayat Abdullah dan Kisah Pelayaran Abdullah, ada disebutkan tentang sikap orang Melayu yang tidak menghiraukan bahasa mereka sendiri.
“Adalah suatu hairan akan sebab melihatkan dan memikirkan hal orang Melayu ini, belum sedarkan dirinya tinggal dalam bodohnya itu, oleh sebab tiada mahu belajar bahasanya sendiri, tiada mahu menaruh tempat belajar bahasanya itu: maka mustahil pada akal, adakah orang yang tiada belajar boleh menjadi pandai sendirinya.” (Hikayat Abdullah, 1963)
                        Abdullah Munsyi tidak membenci orang-orang Melayu tetapi beliau tidak mengerti tentang sikap dan perilaku orang Melayu sendiri terhadap bahasanya yang diabaikan. Beliau juga mengutarakan persoalan tentang bahasa Melayu yang akan pupus jika tidak dimartabatkan oleh bangsa Melayu itu sendiri.
                        Keberanian Abdullah Munsyi mengkritik masyarakat Melayu khususnya pada ketika itu disebabkan beliau mendapat naungan Inggeris. Ini bermakna, beliau bebas dari cengkaman feudal dan tidak terikat dengan lingkungan istana. Oleh itu, beliau berani memberikan pendapat serta pandangannya terhadap permasalahan orang Melayu ketika itu. Bahkan beliau juga mengakui karya serta kritikan yang ditulisnya dengan membubuhkan nama beliau sebagai pengarang karya-karyanya. Ini bermakna, beliau memikul tanggungjawab tentang apa yang dikaryakan.   
                        Berbeza dengan sastera melayu tradisional, Abdullah Munsyi tidak mengabaikan tanggung jawabnya terhadap masyarakatnya. Beliau bukan sahaja memberikan penyedaran kepada masyarakatnya tetapi dengan berani mengolak langkah mengusulkan beberapa cadangan serta huraian demi mengatasi masalah yang dihadapi.
PUISI  MELAYU MODEN
Selain daripada memberikan pengajaran atau hiburan kepada masyarakatnya, sastera juga berfungsi sebagai satu wadah untuk berkomunikasi tentang kebenaran. Dengan adanya kepekaan dan sensitiviti dari para penyair, segala peristiwa sosial yang berlaku di dalam masyarakatnya akan mencetuskan peluang terhasilnya puisi moden yang bertujuan mendedahkan tentang kebenaran kepada masyarakat pembaca. Penangkapan Hamid Tuah dan petani-petani miskin oleh kerajaan kerana dikatakan meneroka tanah secara haram di Telok Gong pada tahun 1967 telah mencetuskan kesan yang mendalam kepada para penyair. (Arba’ie et al,2008 hlm 39) Suara protes dapat dilihat dalam petikan sajak Kemala bertajuk “Telok Gong” yang berikut:
Rumah dan tanah saudara, meski buruk
Adalah istana indah kebebasan jiwa
Lihatlah sepuasmu kibaran bendera negara
Dan tanah-tanah rahsia bekas pengkhianatan
Membikin kami lebih berani bertindak
Kami tuntut keadilan! Keadilan yang merata

Suara protes penyair yang diungkapkan dalam sajak bertindak balas sebagai tanda ketidakpuasan hati mereka terhadap kerajaan yang dianggap tidak bertimbang rasa kepada golongan bawahan.
Begitu juga dengan sajak-sajak yang dihasilkan dalam tahun pemerintahan Jepun. Rata-rata sajak yang dicipta meniupkan semangat perjuangan dan menyeru kepada masyarakat umumnya agar menggunakan peluang keemasan yang ada untuk memperjuangkan hak mereka. Semangat perjuangan yang sedia ada dalam masyarakat Melayu semakin teguh. Kesediaan mempertaruhkan diri dan sama-sama menegakkan pertiwi serta cita-cita politik Jepun memberi satu kesedaran dalam masyarakat Melayu.

RUMUSAN
Berdasarkan perbincangan, didapati bahawa kesusasteraan dapat dirujuk sebagai hasil karya yang mempunyai mesej dan pemikiran tertentu. Sesebuah hasil karya adalah pancaran dari kehidupan masyarakat. Selain itu , karya sastera juga dapat dikategorikan mengikut genre. Setiap genre itu ditandai dengan ciri-ciri khususnya.
Setiap karya mempunyai mesej dan fungsi untuk mendidik dan membina keperibadian ahli-ahli masyarakatnya. Setiap bahagian daripada unsur  dan fungsi di dalamnya mempunyai makna dalam teks karya selain berfungsi dalam kehidupan masyarakat.

  • Arba’ie Sujud. 2008. Sastera Melayu Suatu Pengantar .  Kuala Lumpur : Tinta Press
    Sdn Bhd.
  • Harun Mat Piah et al. 2006. Kesusasteraan Melayu Tradisional . Kuala Lumpur:
    Dewan Bahasa dan Pustaka
  • Asmah Haji Omar. 2008. Ensiklopedia BAHASA MELAYU. Kuala Lumpur: Dewan
    Bahasa dan Pustaka




Tiada ulasan:

Catat Ulasan